KUALA LUMPUR 9 Dis. - Projek Loji Rawatan Air Landeh di mukim Padawan yang bakal dibangunkan oleh kerajaan Negeri Sarawak berkenaan bernilai RM990 juta.
Menteri Utiliti Sarawak, Datuk Seri Dr. Stephen Rundi berkata, projek tersebut dibangunkan susulan permintaan terhadap bekalan air bersih yang semakin meningkat di kawasan Puncak Borneo.
"Puncak Borneo merupakan satu kawasan berbukit dan memerlukan kepada tekanan yang lebih tinggi.
"Jadi, kita memerlukan kapasiti simpanan air yang lebih supaya dapat membekal air bersih ke kawasan berkenaan.
"Sumber air mentah untuk loji baharu itu akan diperoleh dari Empangan Bengoh yang mampu mencapai pengeluaran air hingga 2,047 juta liter sehari," jelasnya dalam satu sidang akhbar seperti dilapor DayakDaily.
Mengulas berkaitan kaedah mendapatkan sumber air mentah di loji berkenaan, beliau memberitahu, pihak menggunakan konsep sungai terbuka yang tidak memerlukan kepada pemasangan paip sekali gus mengelak daripada kos yang tinggi.
Air juga akan melalui proses rawatan di Loji Rawatan Air Landeh sebelum diagihkan kepada penduduk Puncak Borneo dan kawasan sekitar.
Jelasnya lagi, sistem sama turut digunakan untuk zon lain agar sumber bekalan air bersih sentiasa mencukupi.
Bagi Loji 2 dan 4 di Batu Kitang pula, kedua-dua loji berkenaan akan dinaiktaraf melibatkan kos sebanyak RM134 juta dan RM100 juta.
Setelah melalui proses penaiktarafan, Loji Air Batu Kitang mampu mengeluarkan kira 1,184 juta liter air dalam sehari.
Jumlah tersebut mampu menampung kegunaan seramai 900,000 penduduk di seluruh Kuching. - DagangNews.com