Sarawak Consolidated Industries Bhd sumbang derma kepada anak yatim di Kelantan melalui YSN | DagangNews Skip to main content

Sarawak Consolidated Industries Bhd sumbang derma kepada anak yatim di Kelantan melalui YSN

(Dari kiri) Dato’ Abdul Aziz Ismail, Noor Azri Dato' Sri Noor Azerai dan Datuk Seri Mazlan Lazim menyampaikan sumbangan Ramadan kepada ustaz Dato’ Mohd Nazry Mohamad Nor di Kota Bharu pada 13 April 2022.

KOTA BHARU 14 April – Sarawak Consolidated Industries Berhad (SCIB) membuat sumbangan amal kepada anak-anak yatim di Rumah Anak Yatim dan Dhuafa' Siti Aminah di bawah program Ihya Ramadan 2022 anjuran Yayasan Seri Negara (YSN).

 

Program Ihya Ramadan 2022 dianjurkan di beberapa lokasi di Malaysia oleh YSN. Program itu menampilkan acara berbuka puasa yang turut menjadi platform untuk menyampaikan sumbangan ihsan kepada anak-anak yatim dan golongan asnaf terpilih.

 

Majlis berbuka puasa yang diadakan di sebuah hotel di Kota Bharu, Kelantan telah dilancarkan secara rasmi oleh penaung YSN, Datuk Seri Mazlan Lazim.

 

Majlis itu dihadiri anak-anak yatim dari Rumah Anak Yatim dan Dhuafa' Siti Aminah, balu, dan juga pesara Polis Diraja Malaysia bersama Pengarah Bebas dan Bukan Eksekutif SCIB yang baharu dilantik, Noor Azri Dato' Sri Noor Azerai menyampaikan sumbangan kepada wakil dari rumah anak yatim tersebut.

 

Noor Azri berkata. dengan semangat kebersamaan dan kesyukuran Ramadan, SCIB berharap dapat mengambil sebanyak mungkin peluang untuk terus membantu golongan yang kurang bernasib baik dan memerlukan.

 

''Kami berbesar hati kerana berpeluang menghulurkan bantuan kepada kanak-kanak ini melalui program Ihya Ramadhan 2022 anjuran YSN.

 

''Kami memahami tanggungjawab kami terhadap masyarakat dan selaras dengan konsep Keluarga Malaysia yang diperkenalkan oleh Kerajaan Malaysia, kami telah mengambil langkah proaktif ke arah menyokong anak-anak yatim sepanjang bulan Ramadan yang mulia ini.

 

''Amat malang anak-anak ini kehilangan ibu bapa, justeru kami mahu proaktif dalam menyara mereka dan berharap sumbangan kami dapat membantu anak-anak ini dalam tempoh yang mencabar ini,” ujar beliau. - DagangNews.com