Sarawak peruntuk RM190 juta bangunkan pusat penyelidikan penyakit berjangkit | DagangNews Skip to main content

Sarawak peruntuk RM190 juta bangunkan pusat penyelidikan penyakit berjangkit

 

KUALA LUMPUR 25 Nov. - Kerajaan negeri Sarawak telah memperuntukkan sehingga RM190 juta bagi membangunkan sebuah pusat penyelidikan penyakit berjangkit di negeri itu.

 

Dijangka siap pada tahun 2024, pusat berkenaan juga membantu industri untuk menumpukan kaedah baharu dalam menguruskan ekonomi selepas era COVID-19.

 

Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg mengumumkan pusat penyelidikan itu bakal dibina bermula tahun hadapan di Kota Samarahan. 

 

“Ini akan menjadi sebuah kemudahan di mana para saintis kita boleh bekerjasama dan berkolaborasi dengan ahli akademik, kerajaan dan institusi berwibawa di seluruh dunia yang berkebolehan dalam penyelidikan dan pembangunan seperti Cambridge dan Oxford untuk menjalankan kajian terutama penyakit tropika,” katanya menurut DayakDaily.

 

Beliau berucap pada majlis pelancaran Innostre Special Edition 2020: The 1st Global Summit on Viral Immunology and Anti-Viral Therapy of COVID-19 di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Kota Samarahan.

 

Ujarnya, pembinaan pusat penyelidikan itu merupakan yang pertama di Malaysia.

 

Dalam masa sama, beliau turut mengalu-alukan kerjasama daripada industri farmaseutikal termasuk sektor yang terlibat dalam penyelidikan perubatan.

 

Menerusi pusat penyelidikan itu, beliau berharap dapat menghasilkan rawatan yang bertujuan mengurangkan atau mengawal penularan penyakit baharu. 

 

“Pandemik COVID-19 adalah salah satu daripadanya, tetapi kita tidak tahu apa yang bakal berlaku pada masa hadapan disebabkan oleh isu pencemaran dan persekitaran yang lain,’ tambah beliau.

 

Disebabkan itu, kerajaan Sarawak turut memberi penekanan terhadap kelestarian,dan salah satunya merupakan sektor perhutanan, termasuk kaedah menguruskan hutan dan memulihara persekitaran hijau. 

 

Kerajaan negeri mengambil serius terhadap kajian berkaitan penghasilan gas hidrogen memandangkan Sarawak sedang menuju ke arah teknologi hijau berasaskan sumber-sumber boleh diperbaharui terutamanya apabila negeri itu mempunyai sumber air yang besar. - DagangNews.com