PEKERJA ladang migran FGV menjalani ujian saringan COVID-19 di ladang FGV di Sabah baru-baru ini. - Gambar FGV
Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 10 Feb. - FGV Holdings Berhad (FGV) telah memperluaskan ujian saringan COVID-19 untuk semua pekerja asing yang berkhidmat di ladang-ladangnya di seluruh negara.
Setakat ini, seramai 13,509 pekerja asingnya telah disaring, menurut FGV dalam sebuah kenyataan.
Jelasnya, sepanjang Januari tahun ini, FGV telah menjalankan program saringan ke atas 1,029 pekerja ladang migran di Negeri Sembilan dan Pahang, 6,261 pekerja di Sabah serta 703 pekerja di Terengganu.
Pada minggu pertama Februari, tambahan 1,402 pekerja ladang migran FGV di Pahang dan 4,114 pekerja migran di Sabah pula disaring.
Menurut FGV, keseluruhan keputusan ujian saringan pada Januari adalah negatif, kecuali 25 pekerja di Sabah dan mereka telah menjalani proses pengasingan.
Mereka kini telah pulih sepenuhnya dan discaj dari pusat kuarantin di Lahad Datu, tambah FGV.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Datuk Haris Fadzilah Hassan berkata, beliau berpuas hati dengan kemajuan usaha perluasan ujian saringan COVID-19 ini, di mana seramai 13,509 pekerja telah disaring dengan lancar.
“Usaha ini adalah untuk memastikan semua pekerja ladang migran FGV kekal sihat dan tidak menjadi agen penyebar wabak.
“Ia juga selaras dengan arahan kerajaan yang mewajibkan majikan menyediakan saringan untuk semua pekerja migran masing-masing bermula 2 Februari 2021.
“FGV turut menyediakan Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) sementara di kompleks-kompleks ladang bagi membolehkan proses pengasingan sekiranya pekerja ladang migran didapati positif dan bergejala ringan,” ujar beliau dalam kenyataan sama.
Program ujian saringan itu dijalankan secara berperingkat untuk semua pekerja ladang migran FGV yang kini berjumlah 26,114 orang.
Daripada jumlah tersebut, seramai 15,119 pekerja berkhidmat di Semenanjung Malaysia, 10,375 berkhidmat di Sabah dan 620 di Sarawak.
Semua pekerja ladang migran FGV yang berasal dari Indonesia, Bangladesh, Nepal, Filipina, Sri Lanka, India dan Myanmar merupakan pencarum yang berdaftar di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
Selaras dengan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) bagi kawalan COVID-19, FGV berhasrat untuk meneruskan program berkenaan ke negeri-negeri lain dalam waktu terdekat.
Ujian saringan COVID-19 pekerja migran FGV di seluruh operasi perladangannya dijangka selesai pada akhir suku pertama 2021. - DagangNews.com