Sasaran pertumbuhan KDNK di bawah RMKe-12 adalah munasabah - Maybank IB | DagangNews Skip to main content

Sasaran pertumbuhan KDNK di bawah RMKe-12 adalah munasabah - Maybank IB

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 28 Sept. - Pembentangan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) adalah satu usaha untuk menyusun semula ekonomi negara yang terkesan akibat pandemik COVID-19.

 

Ini dapat dilihat menerusi tumpuan utama pelan pembangunan 5 tahun itu, yang memberi fokus kepada memperkukuhkan keselamatan, kesejahteraan dan inklusif serta kelestarian. 

 

Malah, menurut Maybank Investment Bank (IB) Research, terdapat 4 pemangkin dasar iaitu membangunkan bakat masa depan, mempercepatkan penerapan teknologi dan inovasi, meningkatkan keterhubungan dan infrastruktur pengangkutan serta perkhidmatan awam.  

 

"Di bawah RMKe-12, kerajaan menyasarkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) antara 4.5 hingga 5.5% setahun berbanding 2.7% di bawah RMKe-11 (2016-2020) dipacu oleh pengembangan dalam semua sektor ekonomi. 

 

"Sasaran yang ditetapkan di bawah RMKe-12 itu adalah munasabah setelah mengambil kira situasi ekonomi pada 2020 yang terjejas akibat dan kemerosotan ekonomi. 

 

"Bagaimanapun, dalam tempoh 4 tahun RMKe-11 (2016 hingga 2019), ekonomi negara berkembang pada kadar 4.9% setahun," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membentangkan RMKe-12 bagi tempoh 2021 hingga 2025 yang mana pelan pembangunan itu digubal ketika negara berdepan pandemik COVID-19. 

 

RMKe-12 memperuntukkan perbelanjaan pembangunan kasar sebanyak RM400 bilion, lebih tinggi berbanding RM248.5 bilion di bawah RMKe-11. 

 

Bagaimanapun, Maybank IB berpendapat, peruntukan tahunan bagi tempoh 2021 hingga 2022 dilihat lebih mencabar. 

 

"Ini akan menjadikan peruntukan pembangunan sebanyak RM76.1 bilion pada 2025, menurut RMKe-12, yang melihat peruntukan tahunan mencapai kemuncak bagi tempoh 2023 hingga 2024," jelasnya. 

 

Dalam pada itu, firma itu berkata, bagi projek infrastruktur, ia akan dibiayai menerusi model perkongsian awam swasta (PPP) 3.0. 

 

"Kami percaya, ia merupakan sebahagian daripada peruntukan RM400 bilion ini. Malah, ia juga menjadi isyarat kepada projek Transit Aliran Massa (MRT3) dan Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang," tambahnya. - DagangNews.com