Sasaran RM500 juta menerusi usaha komersial TPM di Expo Dubai 2020 | DagangNews Skip to main content

Sasaran RM500 juta menerusi usaha komersial TPM di Expo Dubai 2020

SHAMSUL BAHAR MOHD. NOR (depan, kiri) dan Sharbani Harun (depan kanan) bertukar dokumen MoA sambil disaksikan oleh Khairy Jamaluddin.

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 18 Dis. - Sebagai langkah untuk memacu usaha komersial perniagaan dan perdagangan syarikat tempatan, agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Technology Park Malaysia Corporation Sdn. Bhd. (TPM) akan membuat kemunculan pertama di Malaysia Pavilion semasa Expo Dubai 2020. 

 

Menerusi kerjasama agensi bertanggungjawab menerajui penyertaan Malaysia, Pusat Perubahan Iklim dan Teknologi Hijau Malaysia (MGTC), TPM akan mengangkat nilai “Commercialisation – From Lab to International” dalam program mingguan Malaysia Pavilion bermula 1 hingga 9 Oktober 2021.

 

Dalam sebuah kenyataan hari ini, MGTC berkata, program pada minggu pertama itu akan menampilkan delegasi daripada beberapa syarikat permulaan di Malaysia, inovator dan perusahaan eskport. 

 

Menerusi penyertaan TPM, agensi itu akan menerajui promosi komersial perusahaan tempatan di ekspo berkenaan. 

 

Peranan TPM ditekankan lagi dengan pemeteraian Memorandum Perjanjian (MoA) yang ditukar antara Ketua Pegawai Eksekutif MGTC, Shamsul Bahar Mohd. Nor dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif TPM, Sharbani Harun.

 

Tandatangan MoA itu disaksikan oleh Menteri MOSTI, Khairy Jamaluddin pada Sidang Kemuncak Tahun Komersial Malaysia 2020 yang berlangsung semalam dan hari ini. 

 

TPM juga berperanan untuk meraih RM500 juta potensi perdagangan dan pelaburan yang disasarkan oleh MOSTI.

 

Sharbani berkata, TPM sedang memacu Hab Inovasi Antarabangsa Malaysia yang melibatkan Living Lab and Technology Innovation Sandbox.

 

“Berdasarkan pencapaian TPM dalam menerajui kadar komersial dalam kalangan perusahaan tempatan dan rangkaian luas agensi ini di rantau ASEAN, kami yakin dapat membawa kejayaan di ekspo berkenaan. 

 

“Ini bertindak sebagai pelopor dalam melahirkan syarikat teknologi Malaysia sementara kolaborasi antarabangsa bersedia mengembangkan jaringan mereka di pasaran ASEAN dan Asia Pasifik,” katanya dalam kenyataan sama. 

 

TPM dan MOSTI bersama-sama akan mempromosi IP Malaysia, teknologi, produk dan perkhidmatan negara. 

 

Selain itu, kedua-dua pihak itu juga akan mempromosikan Malaysia sebagai pusat inovasi dan hab komersial bagi produk teknologi dan perkhidmatan yang dipercayai sesuai untuk pasaran ASEAN. 

 

Senada Sharbani, Shamsul Bahar berkata, “Commercialisation – From Lab to International Week” akan menjadi tonggak program  bertemakan perdagangan dan perniagaan selama 26 minggu oleh Malaysia.

 

“Inisiatif ini  akan disokong oleh 22 kementerian, lima kerajaan negeri dan 41 agensi dengan kira-kira 500 syarikat Malaysia yang mengambil bahagian. 

 

“Setiap minggu merangkumi industri mampan yang merupakan kunci pemacu ekonomi utama buat Malaysia,” katanya. - DagangNews.com