Sasbadi sasar RM5.79 juta menerusi tawaran persendirian untuk pembelajaran digital | DagangNews Skip to main content

Sasbadi sasar RM5.79 juta menerusi tawaran persendirian untuk pembelajaran digital

Sasbadi Holdings Bhd.

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 15 Sept. - Syarikat penyedia penyelesaian pendidikan, Sasbadi Holdings Bhd. (Sasbadi) merancang untuk mengumpulkan hingga RM5.79 juta melalui tawaran saham persendirian kumpulannya untuk mengfokuskan kepada pembelajaran perniagaan digital dan produk penguasaan bahasa Inggeris.

Dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan itu memberitahu, sebahagian hasil akan diperuntukkan untuk platform digital bersepadunya i-LEARN Ace bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat semasa tempoh pandemik COVID-19.

"Disebabkan wabak, pelajar semakin tertarik menggunakan platform digital untuk melakukan pembelajaran harian mereka. Oleh itu, pengembangan i-LEARN Ace sangat penting untuk pasaran yang lebih tinggi," kata Sasbadi.

i-LEARN Ace adalah satu platform pembelajaran pelbagai ciri yang mula dilancarkan pada 2015.

Ia dicipta dengan pelbagai ciri dan kelebihan yang lebih interaktif dan mudah alih untuk proses pembelajaran pelajar, guru dan ibu bapa.

i-LEARN Ace menawarkan sukatan pembelajaran yang dihasilkan oleh Sasbadi dan disesuaikan sepenuhnya dengan keperluan kurikulum yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan.

Tambah Sasbadi, tawaran saham persendirian yang dicadangkan memerlukan penerbitan hingga 42.91 juta saham persendirian yang mewakili 10% daripada jumlah saham terbitan kumpulan pada harga yang akan diumumkan.

Hasil yang dijangkakan akan diperoleh berdasarkan harga terbitan indikatif 13.5 sen sesaham.

Sasbadi merancang untuk menggunakan hasil tersebut bagi merekrut, melatih dan mengekalkan pasukan sokongan Cambridge Assessment English (CAE) dan pengedaran produk New York City English (NYC English) di Malaysia. 

Sasbadi turut menandatangani dua perjanjian bersama CAE dan NYC English sebagai rakan kongsi dan rakan pengedar eksklusif pada Ogos 2019. - DagangNews.com