Sawit jadi punca rezeki 450,000 pekebun kecil | DagangNews Skip to main content

Sawit jadi punca rezeki 450,000 pekebun kecil

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 10 Feb. - Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) menjadi perintis kepada beberapa penubuhan skim pembangunan tanah di negara ini yang menyaksikan 450,000 pekebun kecil dan keluarga mereka bergantung kepada tanaman sawit.

 

Dengan menjadikan Felda sebagai contoh, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali berkata, agensi itu telah mengambil golongan miskin di luar bandar sebagai pekebun kecil untuk mengusahakan tanaman sawit dalam skim pembangunan tanah-tanah rancangan sekitar 1960-an. 

 

"Selepas Felda, ia diikuti dengan penubuhan skim pembangunan tanah yang serupa seperti Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra), Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) dan Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Sarawak (Salcra).

 

"Penubuhan skim seperti ini telah meluaskan jangkauan ke lebih banyak lokasi di seluruh negara dan menjana lebih banyak peluang pekerjaan untuk golongan miskin hari ini," katanya dalam pelancaran secara maya kempen 'Sawit Anugerah Tuhan' hari ini. 

 

Mohd. Khairuddin berkata, berdasarkan fakta tersebut, ia jelas menunjukkan peranan industri sawit bukan hanya menyediakan peluang-peluang pekerjaan kepada rakyat, tetapi menjadi salah satu penyumbang pendapatan utama negara. 

 

Pada 2020, katanya, industri minyak sawit Malaysia menjana sekitar RM72.8 bilion melalui ekspot minyak sawit dan produk-produknya ke pasaran antarabangsa. 

 

"Jumlah ini jauh lebih tinggi (kira-kira 14.18% lebih tinggi) berbanding RM63.73 bilion yang dicatatkan pada 2019 dan tertinggi sejak 2017, berjumlah RM77.9 bilion. 

 

"Status industri sawit sebagai satu daripada empat penyumbang terbesar ekonomi di Malaysia selama 15 hingga 18 tahun kebelakangan ini membuktikan bahawa industri minyak sawit sangat penting kepada negara kecil yang membangun seperti Malaysia," katanya. 

 

Menurutnya, industri sawit juga memainkan peranan penting dalam menangani situasi pandemik yang dihadapi negara pada ketika ini. 

 

Ini kerana, katanya, minyak sawit diperlukan dalam pembuatan sabun dan pencuci yang merupakan antara medium terpenting sebagai pembasmi virus COVID-19.

 

"Bahan asas alkohol pembersih tangan yang digunakan secara meluas untuk menghapuskan virus tersebut juga boleh dihasilkan dengan minyak sawit. 

 

"Secara tidak langsung, penggunaan produk berasaskan sawit juga telah membuka peluang perniagaan kepada pengusaha-pengusaha farmaseutikal pada waktu dan ketika yang mencabar ini," katanya. 

 

laman web kempen sawit
Orang ramai boleh melayari laman web www.sawit.com.my untuk menyertai pelbagai peraduan sehingga akhir tahun ini.

 

Menyedari hakikat ini, kementerian telah mengambil inisiatif menyempurnakan prapelancaran kempen 'Sawit Anugerah Tuhan' pada 19 November yang lalu.

 

Kempen ini bertujuan memberi kesedaran dan menyemai perasaan bangga terhadap sumbangan besar minyak sawit kepada negara selama ini.
 

Diterajui oleh Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC), kempen ini akan menumpukan peranan minyak sawit dalam pembangunan sosioekonomi, pemakanan, kesihatan dan farmaseutikal, pemuliharaan alam sekitar serta industri makanan dan bukan makanan. 

 

Laman web www.sawit.com.my yang dilancarkan sempena kempen ini juga memberi peluang kepada orang ramai memenangi pelbagai hadiah menarik yang disediakan dengan menyertai peraduan yang dianjurkan.

 

Beliau memberitahu, menerusi kempen ini, terdapat pelbagai aktiviti promosi yang menggalakkan penglibatan semua lapisan masyarakat Malaysia serta menggabungkan elemen pendidikan, tarikan visual, nilai estetik serta penggunaan media sosial dilaksanakan sehingga akhir 2021. - DagangNews.com