Sazali Harun dilantik sebagai Ketua Pengarah LLM baharu | DagangNews Skip to main content

Sazali Harun dilantik sebagai Ketua Pengarah LLM baharu

Gambar Twitter Jambatan Kedua Sdn Bhd
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 11 Mei - Timbalan Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Sazali Harun dilantik sebagai Ketua Pengarah LLM baharu, menurut Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

 

Pelantikan tersebut diumumkan Nanta dalam Mesyuarat Pasca Kabinet Kementerian Kerja Raya pada 10 Mei 2022.

 

Beliau berkata, Sazali menggantikan bekas KP LLM, Datuk Mohd Shuhaimi Hassan yang bersara pada 8 Mei 2023.

 

"Semoga tanggungjawab baru ini dapat dilaksanakan dengan penuh komitmen dan integriti serta membawa LLM ke tahap yang lebih ke hadapan," katanya menerusi hantaran di Facebooknya.

 

Dalam perkembangan lain, Nanta turut mengadakan lawatan ke Pusat Pemantauan Trafik PLUS di Persada PLUS bagi melihat sendiri operasi pemantauan lebuhraya oleh PLUS.

 

Katanya, pusat itu beroperasi selama 24 jam, 365 hari, yang mana membantu PLUS memantau dan menyelaras bantuan kepada 1.7 juta hingga 2 juta pengguna lebuh raya setiap hari.

 

"Ia melibatkan pemantauan di sepanjang lebih 1,000 kilometer lebuh raya, antaranya Lebuhraya Utara-Selatan, Lebuhraya Baru Lembah Klang, Lebuhraya Seremban-Port Dickson, Lebuhraya ELITE, Lebuhraya Linkedua, Jambatan Pulau Pinang dan Lebuhraya Butterworth-Kulim. 

 

 

nanta
Datuk Seri Alexander Nanta Linggi ketika melawat Pusat Pemantauan Trafik PLUS pada 10 Mei 2023. - Gambar Facebook Alexander Nanta Linggi.

 

 

"Ia juga merangkumi lebih daripada 60% daripada keseluruhan lebuh raya di negara ini," katanya.

 

Tambah beliau, pusat ini juga mengumpul dan menyalur maklumat traffik terkini serta menyelaraskan bantuan kepada kira 1,500 hingga 3,000 panggilan setiap hari. - DagangNews.com