SC Estate Builder meterai MoU, beli tanah daripada kerabat diraja Kedah  | DagangNews Skip to main content

SC Estate Builder meterai MoU, beli tanah daripada kerabat diraja Kedah 

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 5 Okt. - SC Estate Builder Berhad (SC Estate Builder) telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan tiga kerabat diraja Kedah bagi pengambilalihan sebidang tanah yang terletak di Mukim Sg Laka, Kubang Pasu di negeri tersebut.

 

Memorandum tersebut telah ditandatangani dengan pemilik bersama tanah tersebut, Tunku Temenggong Kedah, Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Almarhum Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah; Tunku Sakinah Sultan Badlishah; dan Che Puan Besar Kedah Haminah Hamidun atau secara terkumpul dirujuk sebagai pihak pertama.

 

Menurut makluman SC Estate Builder kepada Bursa Malaysia, kumpulan berhasrat untuk membina Loji Jana Tenaga Solar berkuasa 100 Megawatt (MW) atau projek inisiatif persekitaran, sosial dan tadbir urus (ESG) di atas tanah tersebut.

 

“Kesemua pihak perlu berunding dengan iktikad baik berhubung harga pembelian serta terma dan syarat lain melibatkan cadangan pengambilalihan itu. Cadangan pengambilalihan ini tertakluk kepada pemenuhan kesemua syarat dan sekatan dalam kepentingan/penglibatan bagi tanah tersebut oleh pihak pertama dan kos perlu ditanggung oleh pihak pertama.

 

“Kumpulan perlu mendeposit kepada Peguamcara pihak pertama berjumlah RM100,000, hanya sebagai yuran komitmen pembayaran balik kepada pihak pertama selepas menandatangani MoU itu,” jelas SC Estate Builder.

 

Kesemua pihak yang terlibat dijangka memeterai perjanjian jual dan beli (SPA) serta dokumen berkaitan sekiranya semua terma dan syarat cadangan pengambilalihan itu berjaya dimuktamadkan dalam masa tidak lebih 12 bulan daripada tarikh MoU, selepas langkah pengumpulan dana oleh SC Estate Builder selesai.

 

Tambah SC Estate Builder, tarikh tamat SPA itu juga akan secara automatik dilanjutkan selama 12 bulan lagi sekiranya terdapat kelewatan untuk menyelesaikan langkah pengumpulan dana kumpulan.

 

Semalam, Bursa Malaysia meluluskan permohonan kumpulan untuk menggantung sementara dagangan sahamnya di Papan ACE Bursa Securities bermula 9 pagi hingga 5 petang, hari ini, menjelang satu pengumuman penting. - DagangNews.com