KUALA LUMPUR 16 Ogos - Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) hari ini memperkenalkan GROWMatch, satu inisiatif pemadanan baharu yang membolehkan usahawan perniagaan tani mempamerkan perniagaan mereka, mendapatkan pembiayaan diperlukan dan menggalakkan pertumbuhan mampan dalam sektor tersebut.
SC berkata, GROWMatch memanfaatkan platform pendanaan ekuiti ramai (ECF) dan pembiayaan antara rakan setara (P2P) untuk menyokong perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang kurang mendapat perhatian dalam sektor itu.
"Inisiatif kami yang sejajar dengan Pelan Hala Tuju Lima Tahun SC (2024-2028) untuk PMKS dan syarikat peringkat pertengahan, menumpukan pada penyediaan modal berisiko melalui pasaran swasta," ujar SC dalam kenyataan hari ini.
Menurut SC, sejak penubuhannya, kedua-dua platform ECF dan P2P telah membantu lebih 18,000 PMKS mengumpul hampir RM8 bilion dalam pembiayaan setakat Jun 2024.
Pengerusi SC, Datuk Mohammad Faiz Azmi berkata, GROWMatch memanfaatkan kekuatan rakan kongsi ekosistem yang pelbagai untuk menyediakan sokongan dan sumber komprehensif untuk mereka yang membuat inovasi dalam keterjaminan makanan, terutamanya syarikat kecil yang menghadapi cabaran pembiayaan.
"GROWMatch bukan sahaja menghubungkan usahawan dengan pelabur, tetapi juga menawarkan bimbingan dan sumber untuk membantu mereka berjaya dalam pasaran yang kompetitif,” katanya pada majlis pelancaran tersebut.
Turut hadir sesi pembentangan GROWMatch hari ini ialah Menteri Digital, Gobind Singh Deo.
SC berkata, sesi itu telah menyaksikan 20 usahawan yang disenarai pendek membentangkan penyelesaian inovatif mereka kepada rakan kongsi ECF/P2P.
Mereka bersaing untuk mendapat akses kepada pelbagai pilihan pembiayaan dalam rantaian nilai keterjaminan makanan.
Pada majlis itu, SC menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Perbadanan Teknologi Maklumat Ekonomi Digital Selangor (Sidec), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Impact Circle.
MoU itu bertujuan untuk menggalakkan kelangsungan diri dalam sektor keterjaminan makanan melalui pembiayaan alternatif dan menggabungkan kepakaran pelbagai untuk membangunkan dan membiayai usahawan dalam mengembangkan perniagaan mereka- DagangNews.com