Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 12 Nov. - Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) memperkenalkan rangka kerja baharu untuk memudahkan penawaran dana Islam yang bercirikan wakaf bagi memacu pertumbuhan segmen kewangan sosial Islam.
Sebelum ini, pembangunan wakaf telah dikenal pasti sebagai salah satu bidang yang berpotensi besar untuk pembangunan sosial, pengagihan manfaat dan kekayaan awam lebih besar, di bawah Rangka Tindakan Pengurusan Dana dan Kekayaan Islam SC pada 2017.
Jelas SC, Rangka Kerja Dana Bercirikan Wakaf terbaharu itu akan memperluas rangkaian produk pasaran modal Islam yang inovatif dan membolehkan orang ramai akses kepada dana Islam yang memperuntukkan keseluruhan atau sebahagian daripada pulangan dana ke arah aktiviti manfaat sosial melalui wakaf.
“Rangka kerja yang berkuat kuasa hari ini akan menyepadukan objektif komersial dan sosial serta membolehkan pelaburan untuk manfaat yang lebih besar kepada masyarakat.
“Rangka kerja ini merangkumi dana unit amanah dan dana borong sedia ada dan yang baru dilancarkan.
“Ia menetapkan penerima wakaf yang layak dan keperluan penzahiran bagi meningkatkan ketelusan dalam pelaburan yang dilakukan oleh pelabur dan pengagihan wakaf,” kata SC dalam satu kenyataan hari ini.
Wakaf merupakan instrumen endowmen Islam yang biasanya dikaitkan dengan objektif pembangunan sosial dan derma.
Tambah SC, pihaknya telah berusaha untuk memudahkan cara pembangunan wakaf melalui beberapa inisiatif sepanjang beberapa tahun yang lalu.
Ini merangkumi platform kepimpinan pemikiran, termasuk penganjuran sidang meja bulat industri khusus dengan kerjasama Pusat Pengajian Islam Oxford.
Selain itu, SC turut memperkenalkan rangka kerja Sukuk Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab (SRI) yang menggabungkan pembangunan aset wakaf sebagai projek SRI yang layak serta memudahkan penawaran saham wakaf pertama di dunia.
“Butiran lanjut dan maklumat mengenai Rangka Kerja Dana Bercirikan Wakaf boleh diperolehi melalui Guidelines on Unit Trust Funds dan Guidelines on Unlisted Capital Market Products under the Lodge and Launch Framework yang disemak semula di laman sesawang SC,” kata SC. - DagangNews.com