ScaleUp Malaysia, Quest Venture sediakan RM4,150,000 bantu syarikat permulaan | DagangNews Skip to main content

ScaleUp Malaysia, Quest Venture sediakan RM4,150,000 bantu syarikat permulaan

Barisan pengurusan Quest Ventures dan ScaleUp Malaysia semasa pelancaran ScaleUp Malaysia Cohort 2.

Barisan pengurusan Quest Ventures dan ScaleUp Malaysia semasa pelancaran ScaleUp Malaysia Cohort 2.

 

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 8 Sept. - ScaleUp Malaysia melalui kerjasama dengan sebuah syarikat pengurus pelaburan di Singapura, Quest Venture menyediakan pelaburan langsung asing (FDI) berjumlah RM4,150,000 untuk membantu proses pengembangan syarikat permulaan di Malaysia.

Pengurus bersama Quest Ventures, James Tan berkata, kerjasama tersebut adalah usaha pihaknya untuk menyokong pembangunan teknologi di Malaysia sekali gus menggerakkan perniagaan yang terganggu ke pasaran Asia pasca COVID-19.

"Kami melihat perkara ini sebagai tangggungjawab kami untuk membantu penerapan ekonomi digital yang lebih cepat," jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Bagi memenuhi syarat dalam program Cohort 2 yang dilancarkan hari ini, syarikat permulaan perlu beroperasi dengan model perniagaan yang berpotensi memberi cabaran kepada pasaran sedia ada.

Syarikat pemula juga perlu mempunyai idea atau penyelesaian untuk mengatasi cabaran perniagaan masa hadapan selain memanfaatkan peluang yang ada.

Sebanyak 24 syarikat yang disenarai pendek dalam aplikasi Cohort 2 akan memulakan perjalanan mereka pada Oktober 2020 sebelum membentangkan penyelesaian mereka di hadapan Jawatankuasa Pelaburan di penghujung program.

Sebahagian daripada kerjasama itu juga, ScaleUp Malaysia Cohort 2 yang dikendalikan oleh Quest Ventures akan membuat pelaburan sekurang-kurangnya RM250,000 kepada 12 syarikat berkenaan.

Sementara itu, Pengurus Kanan ScaleUp Malaysia, Dr. V Sivapalan berkata, Cohort 2 lebih mengfokuskan kepada penyelesaian pembelian ekonomi digital melalui silibus yang diatur untuk membawa syarikat tempatan ke tahap global.

"Kerjasama kami ini akan membantu melonjakkan lagi pertumbuhan syarikat mereka hingga mampu mengakses pasaran luar di samping membuka lebih banyak peluang ekonomi melalui penciptaan nilai yang lebih diperlukan disebabkan oleh COVID-19," tambahnya.

Terdahulu, ScaleUp Malaysia telah melancarkan kumpulan pertama pada Disember 2019 bersama 20 syarikat.

10 daripada syarikat berkenaan menerima pelaburan sebanyak RM200,000.

Permohonan bagi Cohort 2 akan dibuka secara rasmi bermula 8 September 2020 .

Selain berdaftar sebagai syarikat Malaysia, peserta juga akan dinilai berdasarkan empat kriteria utama iaitu penjanaan pendapatan, potensi pasaran produk, potensi pertumbuhan produk dan potensi pengembangan global. - DagangNews.com