SCIB, Awana meterai perjanjian baharu, peroleh kontrak eksklusif Projek PPAM Mualim | DagangNews Skip to main content

SCIB, Awana meterai perjanjian baharu, peroleh kontrak eksklusif Projek PPAM Mualim

Oleh Mohamad Iman

KUALA LUMPUR 16 April - Anak syarikat milik penuh Sarawak Consolidated Industries Bhd (SCIB), SCIB Properties Sdn Bhd (SCIBP) telah memeterai penyelesaian komprehensif merangkap pelantikan perjanjian kontraktor dengan Awana JV Suria Saga Sdn Bhd.

 

Langkah itu bertujuan untuk mengukuhkan kedudukan SCIB dalam sektor pembinaan.

 

Pakar sistem bangunan industri itu berkata perjanjian baharu itu bukan sahaja menyelesaikan pertikaian kontrak dan kewangan sebelum ini tetapi juga meletakkan SCIBP sebagai kontraktor utama eksklusif bagi cadangan projek skim perumahan projek penjawat awam (PPAM Muallim).

 

 

Ku Chong Hong
                          Ku Chong Hong

 

 

Di bawah terma perjanjian baharu, Awana telah memperakui jumlah terhutang kepada SCIBP.

 

"Penyelesaian dan pelantikan baharu ini menandakan peristiwa penting bagi SCIB. Ia bukan sahaja mengukuhkan kedudukan kewangan kami, tetapi ia juga mengembalikan semula peranan anak syarikat kami dalam projek utama yang menjanjikan sumbangan besar kepada portfolio kami.

 

"Kami optimis dengan perkongsian baharu ini dengan Awana dan yakin dengan keupayaan kami untuk melaksanakan projek PPAM Muallim dengan kualiti yang terbaik," kata pengarah urusan Ku Chong Hong dalam satu kenyataan.- DagangNews.com