SCIB beli tanah bernilai RM21.6 juta untuk bangunkan kilang di Taman Perindustrian Demak Laut | DagangNews Skip to main content

SCIB beli tanah bernilai RM21.6 juta untuk bangunkan kilang di Taman Perindustrian Demak Laut

Taman Perindustrian Demak Laut di Kuching, Sarawak
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 29 Jan - Sarawak Consolidated Industries Bhd (SCIB) membeli tanah pajakan di Taman Perindustrian Demak Laut di Kuching seluas 8.85 hektar, bernilai RM21.6 juta.

 

Pengarah Urusan Kumpulan SCIB, Ku Chong Hong berkata, pengambilalihan melibatkan sejumlah lima lot tanah itu merupakan langkah bagi meningkatkan kapasiti pengeluaran syarikat.

 

Katanya, pemerolehan tanah itu adalah bukti komitmen pihaknya untuk mengembangkan keupayaan dan jangkauan pasaran SCIB. 

 

"Lokasi baharu di Taman Perindustrian Demak Laut, hanya 15 kilometer dari Pusat Bandaraya Kuching, bukan sahaja berfaedah secara strategik tetapi juga memberi kami ruang yang diperlukan untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran kami hampir 30%. 

 

"Pengembangan ini sejajar dengan jangkaan peningkatan permintaan yang dipacu rancangan pembangunan infrastruktur Sarawak yang pesat pada tahun-tahun akan datang," katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.

 

Katanya, walaupun menyedari turun naik pasaran yang berterusan, SCIB kekal teguh dalam komitmen untuk menyampaikan nilai kepada para pemegang saham.

 

"Pelaburan ini merupakan petunjuk jelas tentang dedikasi kami terhadap pertumbuhan jangka panjang dan keuntungan, memastikan SCIB terus memainkan peranan penting dalam landskap perindustrian Sarawak," katanya.

 

 

scib
Ku Chong Hong

 

 

Menurut SCIB, tujuan penggunaan tanah yang baru diperoleh itu adalah untuk membina kilang perindustrian untuk menghasilkan produk berkaitan konkrit seperti cerucuk putar, paip putar dan produk konkrit bertetulang. 

 

SCIB menjangkakan kilang baharu itu akan memulakan pembinaan menjelang suku kedua 2024, dan siap menjelang suku pertama 2025, dan kilang itu sepatutnya menyumbang secara positif kepada pendapatan syarikat dari suku kedua 2025.


 
Syarikat itu turut yakin bahawa pengambilan tanah itu dan peningkatan seterusnya dalam kapasiti pengeluaran akan menyumbang kepada pertumbuhan dan keupayaan syarikat untuk memenuhi permintaan pasaran masa hadapan, sekali gus meningkatkan nilai pemegang saham dalam jangka masa panjang. - DagangNews.com