Oleh JOHARDY IBRAHIM
[email protected]
KUALA LUMPUR 31 Dis - Sarawak Consolidated Industries Berhad (SCIB) mengumumkan juruaudit luarannya, Nexia SSY PLT telah menzahirkan pendapat yang layak terhadap Penyata Kewangan Diaudit syarikat itu bagi tempoh berakhir 30 Jun 2021, dan laporan tahunan dijangka diterbitkan pada bulan hadapan, sekali gus membolehkan saham SCIB didagangkan semula.
SCIB turut memperakui perbezaan lebih daripada 10% antara keuntungan selepas cukai dan Kepentingan Bukan Kawalan syarikat dinyatakan di dalam keputusan suku tahunan keenam yang belum diaudit bagi tempoh kewangan berakhir 30 Jun 2021 yang diumum pada 30 September 2021 (keputusan belum diaudit) dan Penyata Kewangan Diaudit.
Faktor-faktor yang menjadi punca perbezaan tersebut antaranya adalah: mengenal pasti perolehan berjunlah RM5.5 juta berkaitan Perjanjian Penyelesaian dengan Gaya Belian Sdn Bhd dan lain-lain, yang telah diklasifikasi semula daripada pergerakan di dalam rezab kepada perolehan lain; pengesahan jumlah keseluruhan peruntukan bersih bagi pembayaran balik kerugian berjumlah RM52.5 juta yang merangkumi jumlah daripada projek luar negara sebanyak RM50.9 juta; tambahan RM2.6 juta pembayaran balik kerugian berdasarkan profil pembayaran jualan bagi tempoh 18 bulan; dan pengembalian RM1 juta pembayaran balik disebabkan pengenalpastian pembayaran pendahuluan bagi projek yang telah dianugerahkan.
Lain-lain merangkumi RM1.7 juta dari segi fi juruperunding dibelanjakan ke atas projek-projek yang tidak berjaya.
Pengarah Urusan Kumpulan/ Ketua Pegawai Eksekutif SCIB, Rosland Othman berkata, “SCIB telah memberikan komitmen sepenuhnya untuk melengkapkan laporan audit sebelum tarikh akhir.
Semua ini berjaya dicapai ujar beliau, kerana juruaudit luaran syarikat, Nexia SSY PLT (Nexia) telah bertungkus-lumus bekerja untuk menyempurnakan audit tersebut.
''Walaupun kami berdepan dengan beberapa isu, SCIB kekal komited untuk mewujudkan nilai dan mengoptimumkan prestasi untuk Syarikat bagi tahun-tahun mendatang.
''Kami akan meneruskan perluasan kami ke Semenanjung Malaysia dan Malaysia Timur. Kami telah menyusun semula strategi kedudukan geografi kami dengan meneliti lebih mendalam pasaran baharu muncul yang berpotensi terutama di negara jiran dan dalam negara ini.
''Kumpulan akan meneguhkan fokusnya dengan meningkatkan projek yang berpotensi dengan pemilik projek kredibiliti tinggi seperti Jabatan Kerja Raya (JKR), agensi-agensi kerajaan dan entiti lain yang berwibawa.
''SCIB juga akan menggariskan dasar jelas bagi memastikan kesempurnaan langkah pemfailan dan penyimpanan dokumen untuk tujuan audit dan meneguhkan sistem kawalan dalaman dan aktiviti bagi divisyen Pengurusan Projek. Ini akan memastikan SCIB memiliki fungsi pemantauan, penyeliaan dan pelaporan yang cukup dan berkesan,'' katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Setakat 31 Disember 2021, buku tempahan SCIB kekal kukuh pada RM1.2 bilion, yang diterjemahkan sebagai potensi perolehan yang cukup sihat sehingga 2026. Dengan memfokuskan kepada kekuatan syarikat sebagai pengeluar terbesar konkrit pra-acuan dan Sistem Pembinaan Industri (IBS) di Malaysia Timur, SCUB boleh membangunkan peluang-peluang di Asia Tenggara.
''Selain itu, SCIB juga merancang untuk meluaskan perniagaan pengilangannya di Semenanjung Malaysia dengan mengguna pakai teknologi percetakan 3D ke dalam projek-projek pembinaan, kerana kami percaya ia akan memberi kami kelebihan daya saing yang diperlukan untuk kami bersaing di dalam industri pembinaan,'' kata beliau.
''Kami ingin menekankan sekali lagi bahawa operasi SCIB berjalan seperti biasa. Kami ingin memberi jaminan kepada para pemegang saham, rakan kongsi niaga, vendor dan kakitangan bahawa kami melakukan yang terbaik untuk memuktamadkan laporan tahunan kami menjelang Januari 2022, sekaligus membolehkan saham SCIB didagangkan semula,'' ujar Rosland. - DagangNews.com