KUALA LUMPUR 22 Sept - Sarawak Consolidated Industries Bhd (SCIB) mengumumkan anak syarikat milik penuhnya SCIB Properties Sdn Bhd menerima kontrak bernilai RM137 juta untuk membina perumahan penjawat awam (PPAM).
Menurut SCIB, syarikatnya adalah bagi menggantikan Puncak Gemilang Melati Sdn Bhd, yang pelantikannya sebagai kontraktor utama telah dibatalkan.
''Pemaju projek PPAM di Muallim, Perak iaitu Awana JV Suria Saga Sdn Bhd telah membatalkan Puncak Gemilang Melati sebagai kontraktor utama dan sebaliknya melantik SCIB Properties sebagai kontraktor utama projek tersebut.
“Anggaran nilai kontrak bagi projek tersebut telah disemak semula kepada RM137 juta. Kecuali (perkara tersebut), semua terma dan syarat kontrak yang diumumkan sebelum ini adalah kekal,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pengumuman sebelumnya bertarikh 15 Mac, 2021 oleh SCIB, nilai projek tersebut dinyatakan sebanyak RM135 juta. - DagangNews.com