KUALA LUMPUR 2 Sept - Scientex Bhd. menerusi anak syarikat milik penuhnya, Scientex Packaging Film Sdn. Bhd. mengambil alih 80.2% pegangan dalam Taisei Lamick Malaysia Sdn. Bhd. (TLM) melibatkan pertimbangan tunai RM63.8 juta.
Ia menyaksikan pengeluar pembungkusan global dan pemaju hartanah itu memeterai perjanjian penjualan saham dengan Taisei Lamick Co., Ltd (Taisei Lamick) bagi memperoleh 8,100 saham biasa dalam TML.
Apabila perjanjian itu dimuktamadkan, Scientex akan memegang 80.2% ekuiti dalam TLM, manakala Taisei Lamick akan memegang baki 19.8% ekuiti.
TLM adalah anak syarikat pengeluar terkemuka Jepun bagi sistem pembungkusan cecair dan pes, Taisei Lamick. Ia terlibat terutamanya dalam pembuatan dan penjualan bahan pembungkusan cahaya fleksibel bercetak dan berlamina untuk makanan dan minuman (F&B) dan produk Barangan Pengguna Cepat Laris (FMCG).
Taisei Lamick pula yang tersenarai di Bursa Saham Tokyo terbabit dalam pembuatan dan penjualan filem plastik, kantung retort dan kantung berzip untuk pengisi automatik dengan cecair dan pes, serta pembuatan dan penjualan pengisi automatik 'DANGAN' untuk cecair dan pes, peranti persisian dan perkhidmatan teknikal.
Ketua Pegawai Scientex, Lim Peng Jin dalam kenyataan hari ini berkata, kerjasama itu adalah penting buat Scientex dalam pelbagai bidang, memandangkan Taisei Lamick ialah pengeluar nombor satu untuk pembungkusan cecair dan pes di Jepun.
Katanya, kerjasama itu memanfaatkan reputasi kukuh dan kekuatan kolektif Scientex dan Taisei Lamick, bersedia untuk membawa produk kualiti dengan kos daya saing yang menentukan industri kepada pelanggan serantau dan berpotensi mengembangkan bahagian pasaran pembungkusan fleksibel kumpulan.
"Paling penting, ia membolehkan Scientex bertapak serta-merta dalam perniagaan filem yang berkembang pesat yang digunakan dalam pembungkusan cecair dan pes, sekali gus meningkatkan penawaran kami bagi produk pembungkusan fleksibel yang pelbagai dan disesuaikan terutamanya dalam sektor F&B.
"Ia juga akan memberi peluang kepada kami untuk mengembangkan keupayaan menghasilkan pembungkusan berkaitan penjagaan kesihatan dan kebersihan, serta meluaskan rangkaian penyelesaian pembungkusan nilai tambah dalam sektor FMCG," katanya.
Cadangan pengambilalihan itu akan dibiayo menerusi dana yang dijana secara dalaman atau pinjaman bank dan tidak tertakluk kepada kelulusan pemegang saham Scientex dan pihak berkuasa Malaysia.
Tanpa keadaan yang tidak dijangka, langkah itu dijangka selesai pada separuh kedua 2022, dan dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan dan aset bersih Scientex bagi tahun kewangan berakhir 31 Julai 2023. - DagangNews.com