Scientex masih berdepan cabaran walau berjaya terajui Daibochi secara persendirian - Penganalisis | DagangNews Skip to main content

Scientex masih berdepan cabaran walau berjaya terajui Daibochi secara persendirian - Penganalisis

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 14 Sept. - Keputusan Scientex Berhad untuk menerajui Daibochi Berhad secara persendirian mungkin berpunca daripada risiko jangka pendek dan panjang dihadapi oleh anak syarikatnya itu.

 

Penganalisis di CGS-CIMB Research, Kamarul Anwar percaya struktur kos dan amalan perniagaan Daibochi perlu banyak diubah suai bagi memenuhi keperluan klien seperti melaburkan untuk pengurangan risiko bagi kemudahannya.

 

“Kami telah menyaksikan bagaimana Daibochi gagal untuk mengembangkan jualannya dan keuntungan bersih pada tempoh sembilan bulan pertama tahun kewangan 2021 (9MFY21) ekoran kekangan penghantaran disebabkan oleh pandemik COVID-19. 

 

“Kos logistik dan bahan mentah yang kian meningkat pula secara beransur-ansur mengikis margin sebelum cukai bagi setiap suku tahun, daripada 11% pada suku pertama tahun kewangan 2021 (1QFY21) kepada 8.5% pada 3QFY21. 

 

“Scientex menjelaskan bahawa usaha menjadikan Daibochi secara persendirian akan meletakkan Daibochi dalam kedudukan lebih baik untuk memenuhi keperluan jenama multinasional dan tempatan yang ketat, di mana mereka amat bergantung kepada pembekal yang mempunyai pengurusan risiko baik dan kualiti produk secara konsisten,” jelas Kamarul dalam satu nota kajian hari ini.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia semalam, Scientex berhasrat untuk mengambil alih semua baki ekuiti di dalam anak syarikatnya, Daibochi yang mewakili 124.78 juta saham biasa atau 38.12% kepentingan pada RM2.70 sesaham. 

 

Baca : Scientex mahu beli semua baki ekuiti dalam Daibochi pada RM2.70 sesaham

 

Sekiranya berjaya, kumpulan tidak berhasrat untuk mengekalkan status penyenaraian anak syarikatnya itu di Bursa Malaysia. 

 

Jelas Kamarul lagi, firmanya menyemak turun perolehan sesaham (EPS) kumpulan bagi FY22 hingga FY23 sebanyak 21% hingga 34% yang mengambil kira jualan lebih rendah serta overhed lebih tinggi semasa proses pengubahsuaian perniagaan. 

 

Baca : KLCI tidak bermaya, saham Daibochi, Scientex diburu pelabur

 

Berdasarkan prestasi kewangan 9MFY21, Kamarul menjangkakan Daibochi tidak mampu mengatasi kos bahan mentah yang lebih tinggi seterusnya menurunkan harga sasaran (TP) Scientex kepada RM2.75 daripada RM3.83 dengan saranan ‘tambah’ dikekalkan.

 

Dalam pada itu, MIDF Research menurunkan TP Daibochi kepada RM2.70 daripada RM2.98 sesaham, di mana bersamaan dengan tawaran harga pengambilalihan tersebut. 

 

Firma itu bagaimanapun mengekalkan saranan ‘beli’ ke atas Daibochi dengan unjuran jumlah pulangan pada 14.8%. - DagangNews.com