KUALA LUMPUR 4 Feb. - Penganalisis tidak menolak kemungkinan ekonomi Malaysia hanya akan berkembang sekitar 5% bagi tahun ini.
Ini berbeza dengan julat unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang dibuat kerajaan, iaitu antara 6.5% hingga 7.5%.
Ketua Ahli Ekonomi Affin Hwang Capital, Alan Tan berkata, firmanya selesa untuk meletakkan ramalan itu selepas mengambil kira pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 yang kini dilanjutkan hingga 18 Februari 2021.
Affin Hwang Capital memerhatikan unjuran asas pertumbuhan 6% KDNK pada tahun 2021, berikutan impak asas rendah daripada penguncupan KDNK sebanyak 5% pada tahun 2020, jelas Tan.
“Dengan andaian PKP 2.0 akan dilanjutkan melebihi 18 Februari, terdapat jangkaan bahawa langkah itu akan mengheret ekonomi.
“Bagaimanapun, ini akan dikurangkan oleh suntikan fiskal yang dapat menyokong aktiviti ekonomi pada tahun ini.
“Dalam masa sama, eksport pula akan berkembang lebih baik daripada ramalan semasa ekoran pemulihan global terutamanya dari China,” katanya pada Malaysia Economic Outlook and Construction Sector Briefing menurut laporan The Edge.
Unjuran itu juga dibuat setelah mengambil kira wujudnya permintaan yang tertangguh memasuki separuh kedua 2021 (2H21) termasuk pengedaran vaksin di Malaysia.
Tan berkata, ini secara tidak langsung akan menyumbang kepada aktiviti ekonomi terutamanya melibatkan perbelanjaan swasta.
Firma penyelidik itu ketika ini sememangnya menjangkakan terdapat impak ekonomi sekiranya PKP 2.0 dilanjutkan lagi selain prosedur operasi standard (SOP) yang diperketatkan.
Bagaimanapun, firma itu tidak mengabaikan jangkaan pengedaran vaksin, suntikan fiskal yang mungkin diumumkan pada akan datang serta persekitaran ekonomi luaran yang lebih baik.
“Kami fikir, kami lebih selesa meramalkan pengembangan ekonomi Malaysia berlegar pada kadar 5% berbanding penguncupan 5% pada tahun lalu.
“Prospek ekonomi Malaysia yang lebih baik akan bergantung kepada kejayaan mengekang gelombang ketiga jangkitan COVID-19 serta keberkesanan pemberian vaksin,” ujarnya lanjut.
Tambah Tan, penangguhan pengedaran vaksin, ketidakberkesanan untuk mengekang jangkitan, jumlah isi rumah yang rentan meningkat akibat pelbagai sekatan pergerakan serta ketidaktentuan politik kekal mencetuskan risiko kepada ekonomi negara. - DagangNews.com