Gambar Reuters
Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 6 Mei - Sentimen kebimbangan yang tercetus akibat pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di beberapa buah negeri telah mendorong pasaran saham tempatan hari ini untuk dibuka lebih rendah setelah menyusut lebih 12 mata ketika ditutup pada petang semalam.
Setakat 9.02 pagi, indeks penanda aras pasaran utama di Bursa Malaysia, FBM KLCI menyusut 1.99 mata daripada 1,575.67 kepada 1,573.68.
Dagangan pada pagi ini juga berprestasi agak negatif apabila jumlah kaunter rugi, iaitu 137 mengatasi 123 kaunter untung.
Rakuten Trade Research percaya FBM KLCI akan terus tersekat dalam jajaran yang terhad hari ini.
“Di peringkat tempatan, kami percaya FBM KLCI akan kekal ‘tersekat’ dalam mod penyatuan dan berlegar dalam julat kecil antara 1,570 hingga 1,580 walaupun akan terdapat aktiviti pemburuan saham murah hari ini,” jelas firma penyelidikan itu dalam nota kajiannya hari ini.
Di peringkat global pula, Rakuten Trade menjelaskan Wall Street ditutup lebih tinggi memandangkan para pelabur dipengaruhi oleh keyakinan terhadap ekonomi kerana perolehan korporat yang lebih kukuh.
Ujar firma itu, Dow Jones Industrial Average menokok 97 mata untuk ditutup pada paras 34,230 sementara Nasdaq terus menyusut sebanyak 51 mata, berada pada sekitar 13,580.
“Berikutan ketidaktentuan memuncak, kami menjangkakan pasaran serantau akan berprestasi agak ‘suram’ hari ini,” tambah Rakuten Trade. - DagangNews.com