PUTRAJAYA 14 April - Majlis Pemulihan Negara (MPN) mahu proses kelulusan bagi permohonan mendapatkan pekerja asing, disegerakan bagi menampung keperluan mendesak terhadap tenaga kerja berkenaan.
Pengerusi MPN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata ia boleh dilaksana dengan mengurangkan kerenah birokrasi, dan mempermudah serta menambah baik proses kelulusan terhadap permohonan diterima daripada industri.
Beliau berkata, mesyuarat MPN hari ini dimaklumkan bahawa hanya 163 daripada 4,561 permohonan kuota pekerja asing sudah diproses hingga kini.
Katanya, keadaan itu berlaku walaupun kerajaan sudah memberi kebenaran permohonan pengambilan pekerja asing bagi semua sektor, pada 15 Februari lalu
Sambil menjelaskan hampir semua sektor ekonomi negara terjejas akibat pandemik COVID-19, beliau berkata, kebanyakan permohonan mendapatkan pekerja asing itu diterima daripada sektor perkilangan dan perladangan.
"Apabila kita berbincang mengenai soal pekerja asing ini, ia lebih mendesak lagi. Walaupun kita sudah maklum bahawa ekonomi negara mesti dibuka sepenuhnya, namun antara cabaran besar ialah mereka tidak mempunyai pekerja mencukupi untuk memastikan segala kerja dapat dijalankan dengan lancar.
"Seperti disebutkan Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi tadi, ketika penularan COVID-19, tiada pekerja asing masuk untuk membantu menurunkan buah kelapa sawit, dan ia mengakibatkan kerugian RM10 bilion.
"Sekarang, harga kelapa sawit cukup tinggi dan kalau masih dilewatkan dengan tidak ada pekerja asing, maka bertambah besar lagi kerugian kepada negara kita," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat MPN, di sini, hari ini.
Muhyiddin berkata, sebagai langkah jangka pendek, MPNs mencadangkan supaya kelulusan bersyarat boleh diberikan kepada permohonan yang sedang diproses untuk menyegerakan bekalan tenaga kerja asing kepada sektor-sektor yang terjejas.
''Dalam jangka masa panjang, MPN berpandangan isu struktural kekurangan tenaga kerja dan kebergantungan kepada tenaga kerja asing perlu ditangani secara menyeluruh,'' kata beliau.
Menurutnya, mesyuarat mengambil maklum inisiatif-inisiatif yang telah diberikan kepada Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) yang terjejas akibat pandemik COVID-19 dan bencana banjir.
Namun demikian, MPN berpandangan bahawa inisiatif disediakan secara optimum mengikut keutamaan. Justeru, MPN mencadangkan supaya pihak Kementerian mengenal pasti sektor-sektor yang paling terjejas bagi memastikan inisiatif-inisiatif boleh diubah suai dan disasarkan. Ini bagi memastikan sektor-sektor ini tidak ketinggalan dalam usaha pemulihan negara.
''Dalam kemelut COVID-19, turut menjadi mangsa adalah golongan pelajar dan kanak-kanak. Isu-isu seperti ketinggalan dan keciciran pembelajaran pelajar serta penjagaan kanak- 5 kanak masih dirasai,'' ujar beliau.
Dalam hal ini kata Muhyiddin, Majlis telah memberi pertimbangan dan pada dasarnya menyokong cadangan-cadangan yang dibentangkan bagi menangani isu-isu yang dihadapi golongan pelajar dan kanak-kanak kesan penularan COVID-19. - DagangNews.com