Segmen eksport Malaysia mengekalkan perkembangan dua digit pada Januari 2022 | DagangNews Skip to main content

Segmen eksport Malaysia mengekalkan perkembangan dua digit pada Januari 2022

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 21 Feb - Segmen eksport negara mengekalkan perkembangan dua digit dengan mencatatkan pertambahan sebanyak 23.5% pada Januari 2022 dan ia disumbangkan oleh perkembangan dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E) dan produk minyak sawit.

 

Hong Leong Investment Bank (HLIB) berkata, pada masa sama, import pengantara dan penggunaan memacu pertumbuhan import lebih tinggi iaitu pertambahan sebanyak 26.4% manakalan lebihan dagangan mengecil kepada RM18.4 bilion.

 

Firma penyelidikan itu berkata, secara bulanan, segmen import dan eksport mencatatkan penurunan namun kadar penurunan eksport mengatasi import menyebabkan lebihan dagangan menguncup kepada RM18.4 bilion berbanding RM31 bilion pada Disember 2021.

 

Katanya, eksport ke China, ASEAN, Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah adalah disokong oleh produk E&E manakala pembuatan produk besi dan gas asli cecair (LNG) disokong oleh Jepun.

 

"Eksport barangan berkaitan komoditi meningkat dan disokong oleh permintaan tinggi minyak sawit. Selain itu berlaku peningkatan eksport untuk produk petroleum dan petroleum mentah mengatasi penurunan dalam permintaan produk berasaskan getah.

 

"Permintaan terhadap eksport bagi sektor pembuatan agak sederhana termasuk mesin dan perlatan, bahan kimia, E&E, kelengkapan optikal dan sains merekodkan permintaan yang perlahan mengimbangi permintaan eksport pembuatan logam yang lebih stabil," katanya dalam satu nota kajian hari ini.

 

Sementara itu, firma penyelidikan itu berkata, segmen imports juga mencatatkan peningkatan terutamanya daripada bahagian untuk mesin dan peralatan mekanikal dan import perantaraan merangkumi jentera elektrik, peralatan dan bahagian. 

 

Katanya, import penggunaan juga meningkat berikutan peningkatan import makanan dan minuman yang diproses terutamanya untuk kegunaan isi rumah. 

 

"Isu rantaian bekalan akan terus memberikan risiko kepada aktiviti pembuatan dan perdagangan, walaupun berlaku penurunan Global Supply Chain Pressures Index (GSCPI) namun tekanan kekal tinggi berbanding sebelum pra pandemik.

 

"Malaysia dijangka mengekalkan momentum eksportnya, disokong oleh harga komoditi yang tinggi dan permintaan berterusan untuk produk E&E," katanya. - DagangNews.com