Segmen hiliran Dialog Group diunjur meningkat didorong kadar kontrak lebih baik, kata RHB Investment | DagangNews Skip to main content

Segmen hiliran Dialog Group diunjur meningkat didorong kadar kontrak lebih baik, kata RHB Investment

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 14 Mei - Segmen hiliran Dialog Group Bhd diunjur mencatatkan peningkatan pada masa hadapan didorong kontrak dengan kadar baharu yang lebih baik bagi memenuhi persekitaran kos yang tinggi.

 

RHB Investment berkata, bagaimanapun segmen kejuruteraan, pembinaan dan pengurusan (ECM) mencatatkan penurunan dalam hasil pada suku ketiga berakhir 31 Mac 2024 (3QFY24).

 

Katanya, margin juga berkemungkinan bertambah baik apabila kontrak lama beransur-ansur berakhir menjelang akhir FY24.

 

"Kadar penghunian dan kadar penyimpanan bulanan untuk terminal bebas masih kekal baik, iaitu melebihi 90% dan melebihi S$6.50 setiap meter padu.

 

"Pengeluaran untuk pembangunan Kluster Baram Junior dijangka menjelang akhir 2026 atau awal 2027 dan penilaian awal adalah positif.

 

"Bagi lapangan sedia ada, kumpulan itu mempunyai program berterusan bagi mengekalkan tahap pengeluarannya, termasuk aktiviti penggerudian terhadap lapangannya di Thailand dengan pengeluaran Pan Orient Energy Corp (POEC) semasa sebanyak 1,900 tong sehari," katanya dalam satu nota nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, keputusan bagi sembilan bulan FY24 (9MFY24) kumpulan itu mengatasi jangkaannya, dengan pendapatan teras mengukuh sebanyak 14% tahun ke tahun (YoY), disokong oleh peningkatan dalam operasi domestik dan antarabangsanya.

 

Katanya, pendapatan teras 9MFY24 Dialog sebanyak RM446 juta masuk pada 79% dan 77% daripada anggaran tahun penuh firma.

 

Perolehan tersebut didorong oleh pendapatan bukan operasi yang lebih tinggi yang terhasil daripada pengiktirafan pendapatan dividen tunai yang diterima disebabkan oleh lebihan kepentingan ekonomi melebihi kepentingan ekuitinya dalam terminal usaha sama.

 

"Kami menyukai kumpulan itu kerana pemulihan pendapatannya menjadi pemangkin jangka pendek manakala sebahagian daripada Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura yang akan dibangunkan di Pengerang boleh meningkatkan lagi kedudukan jangka panjangnya di kawasan itu," katanya.

 

RHB Investment mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) lebih tinggi sebanyak RM2.96 berbanding RM2.79 sesaham. - DagangNews.com