Segmen kayu balak diunjur menyumbang secara positif kepada Ta Ann - MIDF Research | DagangNews Skip to main content

Segmen kayu balak diunjur menyumbang secara positif kepada Ta Ann - MIDF Research

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 30 Ogos - MIDF Research mengunjurkan segmen perniagaan kayu balak akan terus menyumbang secara positif kepada Ta Ann Holdings Berhad terutama selepas ketiadaan sekatan pergerakan di kebanyakan negara terutamanya China.

 

Firma itu berkata, segmen itu mencatatkan pertambahan hasil sebanyak 45% kepada RM213.2 juta disokong oleh permintaan yang kukuh dan harga purata jualan (ASP) yang lebih tinggi untuk produk kayu lapi selaras dengan pemulihan aktiviti ekonomi.

 

Katanya, minyak kelapa sawit kekal memberi sumbangan menggalakkan selaras dengan harga yang tinggi iaitu RM6,000 bagi setiap tan dan keuntungan sebelum cukai kumpulan itu menunjukkan hasil positif sebanyak RM240.7 juta, peningkatan 71% walaupun jumlah jualan lebih rendah akibat kelemahan aktiviti penuaian.

 

"Kami mengurangkan unjuran pendapatan kumpulan bagi FY22-FY23 sebanyak 21% dan 15% berikutan jangkaan pengeluaran yang lemah berpunca daripada cuaca buruk dan kekurangan tenaga pekerja.

 

"Selain itu, kemungkinan pengurangan margin keuntungan disebabkan oleh kos operasi memandangkan kos baja kekal tinggi pada 40% daripada kos pengeluaran," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, untung bersih kumpulan itu berkembang 24.12% kepada RM92.02 juta pada 2QFY22 berbanding RM74.14 juta pada tahun sebelumnya disokong ASP yang tinggi bagi minyak sawit mentah, buah tandan segar dan produk papan lapis.

 

Hasil kumpulan berkembang 43.66% kepada RM654.15 juta daripada RM455.34 juta.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) baharu RM5.25 sesaham selepas mengambil kira harga minyak sawit mentah yang tidak stabil.

 

"Walaupun harga pasaran semakin normal sejak Julai 2022, kami menjangkakan segmen perladangannya akan mendapat mafaat daripada harga minyak sawit mentah yang tinggi," katanya. - DagangNews.com