Segmen pembuatan, pemasaran dan pengedaran pacu pertumbuhan UMediC | DagangNews Skip to main content

Segmen pembuatan, pemasaran dan pengedaran pacu pertumbuhan UMediC

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 14 Sept - Sumbangan kukuh daripada segmen pembuatan, pemasaran dan pengedaran akan memacu pertumbuhan UMediC Group Berhad untuk tahun-tahun akan datang.

 

Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research berkata, mereka juga berpeluang mengembangkan pasaran mereka kerana kumpulan itu menyumbang hanya 0.2% kepada jumlah keseluruhan industri peranti perubatan di Malaysia.

 

"Selain itu perkembangan mereka juga akan dipacu oleh produk jenama baharu yang hadir dengan margin keuntungan lebih baik," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, kumpulan itu mencatatkan keuntungan bersih RM568,000 untuk suku keempat berakhir 31 Julai 2022 yang disumbangkan oleh segmen pemasaran, pengedaran dan pembuatan.

 

Peningkatan keuntungan bersih bagi 4QFY22 itu disebabkan oleh permintaan yang lebih tinggi untuk peranti perubatan dan bahan guna pakai daripada kedua-dua hospital awam dan swasta serta penyedia perkhidmatan penjagaan kesihatan.

 

Hasil bagi suku tersebut berjumlah RM7.41 juta disumbangkan oleh penjualan bahan guna perubatan keluarannya, iaitu pelembap HydroX dengan kadar pertukaran asing yang lebih baik untuk hasil luar negara.

 

Firma itu berkata, segmen pembuatan kumpulan menyaksikan pertambahan hasil sebanyak 72.7%, manakala segmen pemasaran dan pengedarannya mencatatkan pertumbuhan hasil sebanyak 43.8%.

 

Sejak penampilan sulungnya pada 26 Julai 2022, harga saham kumppulan itu meningkat 175% (harga IPO: RM0.32 sesaham).

 

"Bagaimanapun, kami menyemak turun penarafan kumpulan itu kepada 'pegang' berbanding 'beli' sebelum ini pada harga sasaran (TP) 81 sen berbanding 61 sen," katanya. - DagangNews.com