Segmen penjagaan kesihatan MyEG ada daya tarikan baik - CGS CIMB | DagangNews Skip to main content

Segmen penjagaan kesihatan MyEG ada daya tarikan baik - CGS CIMB

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 22 Mac - Firma penyelidikan, CGS-CIMB Research percaya segmen penjagaan kesihatan MyEG Services Berhad sedang meraih daya tarikan baik. 

 

Penganalisis di CGS-CIMB, Mohd Shanaz Noor Azam meramalkan kira-kira 15% daripada hasil tahun kewangan 2020 kumpulan syarikat itu diperoleh daripada segmen berkenaan. 

 

Untuk rekod, segmen itu melibatkan perkhidmatan pemeriksaan perubatan terutamanya bagi COVID-19, pengedaran vaksin serta produk farmaseutikal dan perkhidmatan perubatan lain, dan perkhidmatan pengurusan kuarantin.

 

“Kumpulan syarikat menjangkakan margin keuntungan sebelum cukai bagi segmen penjagaan kesihatan akan sejajar dengan julat keuntungan sebelum cukai bagi 2018 hingga 2020 iaitu antara 45% hingga 50%. 

 

“Kami difahamkan daripada pihak pengurusannya bahawa purata kadar pengambilan perkhidmatan pengurusan kuarantin harian dianggarkan 300 individu setiap hari, buat masa ini,” katanya dalam sebuah nota kajian.

 

Suku keempat tahun kewangan 2020 (4Q20) menyaksikan hasil MyEG meningkat 10% suku ke suku (q-o-q) kepada RM149.9 juta didorong oleh jumlah pemeriksaan COVID-19, pembaharuan lesen kenderaan, cukai jalan dan insurans motosikal serta perkhidmatan kuarantin yang kian meningkat. 

 

Secara keseluruhannya, keuntungan bersih bagi suku berkenaan untuk MyEG, menokok 7% q-o-q kepada RM75.5 juta.

 

Bagi FY20, MyEG mencatatkan jumlah keuntungan bersih bernilai RM268 juta di mana sejajar dengan ramalan CGS-CIMB dan Bloomberg.

 

Mohd Shanaz berkata, CGS-CIMB mengekalkan saranan ‘tambah’ terhadap saham MyEG dengan harga sasaran (TP) pada kadar RM2.50 sesaham. 

 

“Kami mengurangkan perolehan sesaham (EPS) bagi FY21 dan FY22 sebanyak 1% hingga 12% untuk mengubahsuai impak pencairan penerbitan 120 juta saham baharu daripada tawaran persendirian dan mengurangkan jangkaan bagi jumlah pengambilan MySafeTravel (MST) kerana penangguhan pembukaan semula sempadan negara.

 

“Namun, kami masih menjangkakan kumpulan syarikat akan mencatatkan 21% pertumbuhan keuntungan bersih tahun ke tahun bagi FY21 dipacu oleh peningkatan penyelesaian e-kerajaan untuk perkhidmatan yang berkaitan pengangkutan jalan raya dan imigresen serta sumbangan yang lebih tinggi daripada perkhidmatan penjagaan kesihatan kerana jumlah saringan ujian dan permintaan perkhidmatan kuarantin yang lebih tinggi.

 

“Kami menjangkakan tiga segmen, iaitu perkhidmatan pengangkutan jalan raya, imigresen dan perkhidmatan kesihatan akan menyumbang sekitar 90% kepada pendapatan MyEG pada FY21,” katanya lagi.

 

Setakat 4.02 petang, nilai saham MyEG menyusut 4 sen kepada RM1.98. - DagangNews.com