Segmen ternakan bersepadu lonjak untung bersih Malayan Flour kepada RM46.2 juta pada suku ketiga | DagangNews Skip to main content

Segmen ternakan bersepadu lonjak untung bersih Malayan Flour kepada RM46.2 juta pada suku ketiga

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 21 Nov - Malayan Flour Mills Bhd. merekodkan untung bersih sebanyak RM46.2 juta bagi suku ketiga berakhir 30 September 2022 daripada RM3.9 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya didorong terutamanya menerusi peningkatan operasi bagi segmen ternakan bersepadu.

 

Di bawah segmen itu, kumpulan mempunyai kilang pemprosesan ayam terbesar di Malaysia, dengan kapasiti penyembelihan lebih daripada 280,000 ekor setiap hari. 

 

Selain itu, Malayan Flour juga merupakan salah satu pengilang tepung utama di Malaysia, disokong juga oleh operasi di Vietnam dan Indonesia.

 

Bagi tempoh itu, pendapatan kumpulan meningkat kepada RM799.45 juta daripada RM620.52 juta yang direkodkan bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Namun, bagi tempoh kumulatif sembilan bulan berakhir 30 September 2022, untung bersihnya susut kepada RM98.17 juta daripada RM149.88 juta manakala pendapatan meningkat kepada RM2.1 bilion daripada RM1.73 bilion.

 

Dalam kenyataan hari ini, Timbalan Pengerusi Eksekutif Malayan Flour, Teh Wee Chye berkata, prestasi yang direkodkan pada suku ketiga mencerminkan kejayaan kumpulan memiliki model perniagaan bersepadu dan sinergistik pengilangan tepung dan pemprosesan ayam.

 

 

 Teh Wee Chye
                         Teh Wee Chye

 

 

Katanya, kedua-dua segmen perniagaan itu bukan sahaja menyediakan makanan ruji, tetapi juga mencipta nilai untuk pemegang saham sebagai kes pelaburan yang berdaya tahan.

 

"Kami tetap teguh untuk meningkatkan kecekapan dan penggunaan kapasiti kemudahan pengilangan tepung dan pemprosesan ayam.

 

"Ini membolehkan menawarkan rangkaian produk makanan yang tidak terjejas kepada pelanggan kami dan akhirnya pengguna akhir pada harga berpatutan, terutama dengan mengambil kira tekanan inflasi semasa," katanya.

 

Melangkah ke hadapan, beliau berkata, perniagaan pengilangan tepung akan terus mengekalkan pendapatan kumpulan manakala segmen ternakan bersepadu dijangka meningkatkan sumbangan keuntungan di samping mempercepatkan penggunaan kapasiti di kilang pemprosesan utama. -DagangNews.com