Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 21 Dis - AmInvestment Bank Research mengulangi saranan 'beli' terhadap Malayan Flour Mills Bhd. (MFM) dengan nilai wajar tidak berubah pada RM1.37 sesaham.
Firma itu menjangkakan bahagian ternakan ayam MFM akan kembali mencatat keuntungan pada tahun kewangan 2022 (FY22) didorong jumlah jualan lebih tinggi dan harga jualan.
Katanya, kilang ayam di Lumut dijangka mencapai purata kadar penggunanaan sebanyak 60% kepada 70% pada FY22 berbanding 50% pada FY21.
Pada kadar purata penggunaan 50%, loji ini memproses kira-kira 130,000 hingga 140,000 ayam sehari.
"Jumlah jualan ternakan ayam MFM dijangka meningkat pada FY22 disokong permintaan lebih tinggi daripada restoran dan segmen seperti pasar raya.
"Ini turut disokong dengan penyertaan Tyson International yang memiliki 49% pegangan dalam MFM pada Mei 2021, menjadikan jualannya kepada Tyson akan meningkat pada FY22," katanya dalam nota kajian hari ini.
Malah, firma itu percaya harga jualan ayam akan kekal tinggi pada separuh pertama 2022 disebabkan masalah kekurangan bekalan dan permintaan musim perayaan.
"Kami memahami bahawa bekalan industri tidak dapat memenuhi permintaan pada masa ini kerana sebahagiannya kerana penyakit telah menjejaskan bekalan anak ayam berumur berumur sehari kepada sesetengah pengeluar.
"Namun, MFM tidak terjejas dengan penyakit kerana ia mengendalikan sistem operasi yang tertutup," jelasnya.
Secara keseluruhan, AmInvestment mengunjurkan bahagian ternakan akan kembali pulang modal dengan pendapatan sebelum faedah dan cukai (EBIT) sebanyak RM9.2 juta bagi FY22.
Bagi segmen tepung pula, ia dijangka merekodkan EBIT sebanyak RM164.3 juta bagi FY22, sama seperti FY21.
"Walaupun kos gandum tinggi, tetapi kami menganggap bahagian tepung MFM akan terus menunjukkan prestasi yang baik disokong oleh kenaikan harga dan permintaan positif di Vietnam.
"Sebaliknya, bahagian tepung di Malaysia masih menguntungkan meskipun kami menjangkakan hakisan margin berpunca daripada kos gandum yang tinggi," katanya. - DagangNews.com