Sekat sindiket jenayah kaut untung semasa ketidaktentuan politik sekarang | DagangNews Skip to main content

Sekat sindiket jenayah kaut untung semasa ketidaktentuan politik sekarang

Bot membawa barangan seludup, sebelum dipindahkan ke trak di jeti terpencil di Labuan. Kesemua penjenayah melarikan diri setelah mengetahui mereka didatangi pasukan Maritim Malaysia.

 

 

KUALA LUMPUR 6 Ogos – Ketidaktentuan politik di Malaysia dan isu-isu ekonomi disebabkan oleh pandemik kini diambil kesempatan sepenuhnya oleh kumpulan jenayah terancang, terutama yang terlibat dalam sindiket penyeludupan dan perdagangan haram, kata Advokasi Runcit dan Jenama Dagang cawangan Malaysia (RTBA Malaysia).

 

Ulasan kumpulan advokasi yang melindungi perniagaan di rantau Asia Pasifik daripada perlakuan jenayah ini adalah susulan pergolakan politik baru-baru ini, peningkatan kadar pengangguran dan penurunan tahap pendapatan isi rumah.

 

Memetik laporan Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Dadah dan Jenayah bertajuk “Jenayah dan Ketidakstabilan”, Pengarah Urusan RTBA Malaysia, Dato' Fazli Nordin berkata, "Kajian menunjukkan kaitan jelas antara ketidakstabilan politik dan pertambahan aktiviti kumpulan jenayah terancang. Lazimnya, penjenayah mengaut keuntungan apabila kerajaan mengalih pandangan daripada isu-isu keselamatan dan penguatkuasaan serta cabaran-cabaran ekonomi.”

 

"Pergolakan politik di Malaysia belum mencapai tahap kritikal, namun kita sudah pun melihat peningkatan aktiviti penyeludupan barangan haram dalam beberapa bulan kebelakangan ini, terutama penyeludupan rokok,” ujar beliau.

 

Menurut Fazli, sindiket jenayah terancang membawa masuk dalam bilangan besar rokok seludup dari negara lain, termasuk China dan Vietnam, menggunakan kapal kargo besar dan berlabuh sebelum sempadan perairan negara ini.

 

“Operasi licik membabitkan orang asing dan orang tempatan yang bersubahat kemudiannya membawa rokok-rokok itu menerobos pantai yang luas untuk diedarkan ke seluruh Malaysia,” ujar beliau dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Fazli menjelaskan, elemen paling membimbangkan di dalam keseluruhan operasi pasaran gelap ini ialah pendedahan mengenai wujudnya ketua jenayah atau `Dons’ menyerupai Mafia yang berada di puncak carta organisasi jenayah mengawal segala aspek perniagaan haram bernilai berbilion ringgit.

 

 

RTBA
Pengarah Urusan RTBA Malaysia, Dato' Fazli Nordin

 

“Walaupun agensi penguatkuasaan undang-undang kita mengetahui siapa sebenarnya `Dons’ berkenaan, apakah tindakan tidak dapat diambil disebabkan pemimpin negara dan penggubal undang-undang sentiasa dialih perhatian bermain Games of Thrones?,” soal beliau.

 

Fazli berkata, membenarkan Dons penyeludup untuk beroperasi pastinya mempersendakan keluhuran undang-undang dan mengakibatkan kitaran ganas yang akan membaca kepada situasi de facto kerajaan yang gagal.

 

“Sindiket jenayah terancang suka kepada ketidakstabilan politik dan mereka akan sukarela memudah cara kerajaan yang gagal berfungsi menerusi rasuah. Lagipun, kesulitan pendapatan dan kadar pengangguran tinggi juga bermakna lebih ramai pengguna akan beralih kepada produk seludup yang tidak dicukai dan tidak mengikut peraturan.”

 

“Kini masanya adalah lebih penting bagi para pemimpin dan penggubal dasar untuk bersatu bagi menggubal dasar-dasar yang tegas dan ketara yang akan memacu pemulihan ekonomi dan mengelak ketirisan. Berpolitik hanya bermanfaat bila ia membawa kemajuan yang bermakna,” ujarnya.

 

“Kita telah melihat dasar-dasar pintar dilaksanakan di dalam Belanjawan 2021 yang memberi impak ke atas penyeludupan rokok pada peringkat awal.

 

"Tetapi sindiket jenayah kini datang balik. Oleh itu, kerajaan mesti nekad di dalam mengekalkan pelaksanaan moratorium dan menangani jurang harga antara rokok seludup dengan yang sah supaya ia tidak menguntungkan penjenayah.”

 

Serentak itu, kita juga perlu memperkasa agensi penguatkuasaan kita dengan alat dan dasar-dasar yang membolehkan mereka memburu dan membanteras ketua-ketua penyeludupan secara lebih berkesan,” kata beliau. - DagangNews.com