Sekatan AS, jejas reputasi minyak sawit Malaysia  | DagangNews Skip to main content

Sekatan AS, jejas reputasi minyak sawit Malaysia 

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 24 Mac - Sekatan yang dikenakan Amerika Syarikat (AS) terhadap dua syarikat perladangan negara susulan dakwaaan penggunaan buruh paksa dilihat menjejaskan reputasi industri minyak sawit Malaysia. 

 

Malah, tindakan itu juga dilihat memberi impak dari segi dagangan dengan destinasi eksport utama seperti India, China dan Eropah, menurut MIDF Research. 

 

"Selain daripada permintaan eksport dan pengeluaran yang rendah, kami juga melihat pelabur bimbang terhadap isu alam sekitar, sosial dan tadbir urus korporat (ESG) yang menyelubungi sektor ini. 

 

"Malah, ini merupakan antara faktor utama mengapa indeks KL Plantation tidak mampu mencapai paras tertinggi seiring kenaikan harga minyak sawit mentah (MSM) sebaliknya kekal pada paras 7,000," katanya dalam laporan tematik yang dikeluarkan hari ini. 

 

 

Baca : Era 'kritikal' industri sawit 

 

Baca : SDP ambil tindakan undang-undang ke atas Liberry Shared

 

 

Menerusi laporan itu, MIDF Research merujuk kepada prestasi MSM pada suku pertama 2008, yang mencecah RM4,203 satu tan metrik manakala pada 2011 pula, paras tertinggi MSM mencapai RM3,927 satu tan metrik. 

 

Dengan melihat paras tertinggi harga MSM ini pada suku pertama 2008 dan 2011, indeks itu mencecah paras 8,000 memandangkan paras memberi reaksi kepada trend harga MSM. 

 

Ini jelas menunjukkan sektor perladangan tempatan berdepan pelbagai cabaran dari negara-negara barat susulan beberapa langkah kawal selia yang dilaksanakan. 

 

Antaranya termasuklah strategi Farm-to-Fork, Arahan Sumber Tenaga Diperbaharui Kesatuan Eropah (RED) dan Dasar Kesatuan Eropah (EU) terhadap Hutan dan Penebangan Hutan. 

 

Susulan itu, pada Februari, syarikat pengeluaran makanan AS, General Mills mengeluarkan 'tiada pesanan pembelian' secara global terhadap FGV Holdings dan Sime Darby Plantations (SDP).

 

Kedua-dua syarikat ini dikenakan sekatan oleh Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan AS (CBP) atas dakwaan penyalahgunaan tenaga buruh pada tahun lalu.

 

Kesannya, sesetengah pembeli meminta pembekal untuk mengurangkan atau mengecualikan produk dari SDP dan FGV memasuki pasaran AS.

 

"Tetapi, terdapat juga sesetengah pembeli tidak mengambil tindakan tergesa-gesa mengeluarkan 2 syarikat ini daripada rangkaian bekalan sebaliknya menunggu bukti kukuh daripada CBP," katanya. 

 

Bagaimanapun, MIDF Research berpendapat, mesyuarat dua hala antara Malaysia dan Indonesia bagi membincangkan isu berkaitan perlindungan pekerja migran di negara ini dan diskriminasi minyak sawit akan meningkatkan semula sentimen dalam sektor perladangan. 

 

"Ini memandangkan kedua-dua pemimpin mencapai kata sepakat untuk memperkukuhkan platform sedia ada seperti Majlis Negara-negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC) pada masa akan datang," katanya. 

 

Mengenai prestasi SDP, firma itu percaya ia masih kekal kukuh memandangkan kumpulan sudah bersedia memulakan tindakan undang-undang ke atas Pengarah Urusan Liberty Shared, Duncan Jepson untuk mendapatkan maklumat berhubung tuduhan yang dibuatnya terhadap syarikat perladangan tersebut.

 

"Bagi FGV pula, kami mengetahui kumpulan akan meneliti semula pelantikan firma audit bebas untuk menjalankan audit operasi dalam jangka masa yang munasabah dan akan terus berhubung dengan CBP sebaik sahaja juruaudit bebas dilantik," katanya. 

 

Dalam pada itu, MIDF Research juga berpandangan isu kekurangan tenaga buruh akibat pandemik COVID-19 akan memberi kesan kepada sektor perladangan dari segi pengeluaran yang rendah. 

 

Ketika ini, sektor perladangan masih berdepan kekurangan sekitar 50,000 tenaga buruh dan Malaysia secara dasarnya bergantung kepada buruh asing yang merangkumi 70% daripada tenaga buruh dalam sektor ini. 

 

Meskipun dengan kemasukan pekerja migran, tetapi industri tetap berdepan dengan masalah kekurangan tenaga buruh yang merupakan antara cabaran utama di Malaysia. 

 

"Namun, difahamkan buat masa ini, syarikat perladangan sedang cuba memohon kelulusan kerajaan untuk membawa masuk pekerja asing ke Malaysia dengan selamat, yang mana semua kos ujian dan kuarantin COVID-19 ditanggung oleh majikan bagi meringankan masalah kekurangan pekerja asing di Malaysia," kata firma itu. 

 

Kerajaan pada masa ini telah membenarkan pekerja asing kembali semula ke Sarawak pada 1 Mac 2021 di bawah prosedur operasi standard (SOP) yang ketat. 

 

Mengenai kenaikan kadar ses pula, MIDF Research mendapati ia akan memberi impak negatif terhadap pendapatan industri sawit. 

 

Pada Februari lalu, kerajaan menaikkan ses sebanyak RM2 kepada RM16 bagi satu tan metrik berbanding RM13 satu tan metrik pada 2019 dan RM14 bagi 2020. 

 

"Kami menganggap pemain huluan akan berdepan kesan negatif lebih besar berbanding pemain bersepadu memandangkan pemain huluan perlu menanggung kos yang tinggi. 

 

"Selain itu, pemain huluan mungkin menghadapi beberapa cabaran dari segi memberikan kos tambahan kepada pembeli akhir," tambahnya. 

 

Ini mendorong 9 organisasi berkaitan industri sawit mengemukakan rayuan kepada kerajaan dengan tumpuan kepada 3 fokus utama iaitu pekerja asing, cukai dan akses pasaran. - DagangNews.com