Sekatan sehala Iran: Malaysia sedia bincang kaedah bagi memudah cara urusan - PM | DagangNews Skip to main content

Sekatan sehala Iran: Malaysia sedia bincang kaedah bagi memudah cara urusan - PM

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengadakan perbualan telefon bersama Seyyed Ebrahim Raisi pada 30 Ogos 2022. - Gambar PMO
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

PUTRAJAYA 30 Ogos - Menyedari rintangan yang sedang dihadapi akibat kekangan daripada sekatan sehala ke atas Iran, Malaysia bersedia membincangkan kaedah dan pendekatan lain bagi memudah cara urusan antara kedua-dua pihak, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

 

Menerusi perbualan telefon bersama Presiden Iran, Seyyed Ebrahim Raisi hari ini, Ismail Sabri berkata, Iran adalah antara rakan dagangan penting Malaysia di rantau Asia Barat.

 

Beliau berkata sebagai permulaan, ia mungkin khusus kepada item-item yang dibenarkan di bawah mekanisme sedia ada.

 

"Saya ingin menyatakan bahawa Malaysia tidak mengiktiraf mana-mana sekatan yang berbentuk sehala terhadap mana-mana negara.  Kerajaan Malaysia hanya akan tertakluk kepada sekatan yang dilaksanakan melalui Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

 

"Walaupun begitu, berikutan pendedahan risiko susulan mempunyai transaksi dengan pihak di Amerika Syarikat, ia telah menimbulkan permasalahan dalam urusan transaksi perniagaan dan pembukaan akaun bagi warga Iran kepada sesetengah entiti Malaysia.

 

"Saya berharap akan ada perkembangan positif segera melibatkan rundingan Joint Comprehensive Plan of Action (JCPOA). Ia secara tidak langsung akan membantu memudah cara urusan perniagaan dengan Iran selain menyelesaikan isu-isu lain termasuk isu perbankan dihadapi rakyat Iran," katanya.

 

Rundingan terbaru telah diadakan pada 4 hingga 8 Ogos 2022 yang mana semua pihak terlibat tertumpu kepada memuktamadkan teks JCPOA yang diusulkan oleh European Union sekalu penyelaras rundingan. 

 

 

pm

 

 

Iran telah mengemukakan komennya terhadap teks tersebut pada 15 Ogos 2022, manakala Amerika Syarikat telah mengemukakan maklum balasnya terhadap teks tersebut pada 24 Ogos 2022.  

 

Dalam perkembangan sama, Ismail Sabri mengambil maklum pemberhentian operasi Mahan Air ke Kuala Lumpur sejak 13 Ogos 2022 berikutan isu teknikal melibatkan ‘refueling’ di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

 

"Dalam hal ini, pihak-pihak yang berkaitan sedang mencari jalan penyelesaian terbaik bagi menyelesaikan isu ‘refueling’ dihadapi Mahan Air di KLIA. Kerajaan Malaysia berharap supaya isu ini dapat diselesaikan dengan segera dan Mahan Air dapat meneruskan operasinya ke KLIA secepat mungkin," katanya.

 

 

pm

 

 

Dari segi hubungan dua hala katanya, Malaysia amat berpuas hati dengan keakraban hubungan antara kedua-dua negara yang telah terjalin sejak 1968. 

 

"Kedua-dua negara sering bersependapat dalam pelbagai isu melibatkan kepentingan umat Islam. Saya mengharapkan agar hubungan baik ini akan terus diperkukuh pada masa akan datang," kata perdana menteri.

 

Untuk rekod pada 2021, Iran adalah rakan dagang ketujuh besar Malaysia di Asia Barat. Jumlah dagangan dua hala pada 2021 bernilai RM2.63 billion (AS$0.64 billion), peningkatan sebanyak 68.2% dibandingkan pada 2020.

 

 

pm

 

 

Ismail Sabri turut berbesar hati menyampaikan salam daripada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah kepada Seyyed Ebrahim dan keluarga.

 

"Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan di atas kesempatan yang diberikan untuk mengadakan perbualan telefon ini. Semoga Allah memberkati Tuan Yang Terutama dan rakyat Republik Islam Iran dengan keamanan dan kesejahteraan yang berterusan. 

 

"Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Tuan Yang Terutama di atas ucapan tahniah sempena Hari Kebangsaan Malaysia. Tahun ini merupakan ulang tahun ke-65 kemerdekaan Malaysia setelah mencapai kemerdekaan pada tahun 1957," katanya.

 

Katanya, Malaysia bersyukur kerana pada tahun ini sambutan kemerdekaan dapat diadakan dalam skala yang lebih besar setelah beralih ke fasa endemik. 



"InsyaAllah, sambutan pada tahun ini akan lebih meriah dan amat dinanti-nantikan semua rakyat Malaysia.

 

"Ia amat penting untuk kita sentiasa menerapkan semangat jati diri dan kecintaan kepada negara terutamanya di kalangan generasi muda dalam menghayati pengorbanan dan jasa orang terdahulu dalam membebaskan sesebuah negara daripada belenggu penjajah," katanya. - DagangNews.com