Sekretariat EAC akan bincang masalah peniaga - Mustapa | DagangNews Skip to main content

Sekretariat EAC akan bincang masalah peniaga - Mustapa

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 16 Nov. - Sektor perniagaan serta perusahaan mikro, kecil dan sederhana mengalami banyak cabaran sejak kerajaan melaksanakan semula perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) pada 14 Oktober lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, Sekretariat Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) telah menerima maklum balas daripada beberapa sektor termasuk peruncitan, penjaja, peniaga kecil, pengendali tadika, pengusaha hotel dan restoran, pemandu teksi serta informal mengenai kesan PKPB ke atas perniagaan mereka.

Katanya, Sekretariat EAC akan membawa semua maklum balas ini kepada mesyuarat EAC pada minggu ini untuk dibincangkan. 

"Antara cadangan daripada masyarakat perniagaan ini ialah supaya menyemak semula SOP PKPB bagi memastikan perniagaan mereka dapat diteruskan dan kembali pulih secepat mungkin.

"Pada masa sama, kita perlu memperkukuhkan tekad dan lebih kreatif untuk mencari jalan bagi memastikan kehidupan seharian dapat disesuaikan dengan norma baharu agar mampu diteruskan dengan sebaik mungkin serta berusaha melandaikan keluk penularan pandemik ini," katanya dalam kenyataan hari ini. 

Menurut beliau, prestasi ekonomi pada suku ketiga tahun 2020 adalah lebih baik dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menguncup lebih kecil pada kadar 2.7% berbanding -17.1% bagi suku kedua.

"Bagaimanapun peningkatan kembali kes COVID-19 di negara ini telah menjejaskan pemulihan ekonomi disebabkan PKPB terpaksa dilaksanakan semula di seluruh negara kecuali di Perlis, Kelantan dan Pahang," katanya. 

Jumaat lalu, Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata, PKPB yang dilaksanakan ketika ini adalah lebih bersasar dan mempunyai mobiliti yang lebih baik berbanding sebelum ini pada Mei-Jun, justeru, impaknya tidak seteruk sebelum ini.

Malah, BNM tidak akan menyemak semula unjuran ekonomi keseluruhan tahun ini meskipun berlaku perkara luar jangkaan iaitu gelombang ketiga penularan COVID-19 yang menyaksikan pelaksanaan semula PKPB. 

Bagaimanapun, penganalisis mengunjurkan ekonomi pada suku keempat akan terus menguncup pada kadar yang lebih besar berbanding suku ketiga ekoran pelaksanakaan semula PKPB yang kemungkinan akan dilanjutkan lagi selepas 6 Disember ini apabila kes jangkitan semakin meningkat. - DagangNews.com