Seksyen 11 WCE dibuka mulai awal pagi 12 Mac 2024, tol percuma 2 bulan | DagangNews Skip to main content

Seksyen 11 WCE dibuka mulai awal pagi 12 Mac 2024, tol percuma 2 bulan

KUALA LUMPUR 11 Mac - Seksyen 11 Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) yang menghubungkan Taiping Selatan ke Beruas sepanjang 35.5 kilometer dibuka kepada umum bermula 12.01 pagi, 12 Mac 2024 dan pembukaan itu melengkapkan kesemua empat seksyen di jajaran negeri Perak. 

 

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pihak konsesi bersetuju menawarkan tol percuma bagi kedua-dua arah jajaran berkenaan selama dua bulan, sehingga 11 Mei 2024.

 

“Kali ini lain daripada tempat-tempat lain... tempat lain kita bagi sebulan atau sebulan lebih sikit.

 

“Tol percuma kali ini yang panjang sehingga dua bulan kerana bulan pertama ini bulan Ramadan.

 

“Lepas itu kita meraikan Aidilfitri yang juga kira-kira sebulan. Jadi biarlah betul-betul dua bulan dari (tarikh) kita buka malam ini,” katanya.

 

WCE

 

WCE merupakan satu lagi projek mega infrastruktur Kementerian Kerja Raya bagi menyediakan laluan alternatif kepada pengguna jalan raya khususnya dalam menangani masalah kesesakan lalu lintas.

 

Projek yang dimulakan 10 tahun lalu itu menelan belanja lebih RM5 bilion ringgit dan setakat ini, 6 seksyen telah dibuka sepenuhnya menghubungkan Changkat Jering di Perak ke Banting, Selangor sepanjang 314.5 kilometer.

 

Ia juga menghubungkan tiga pelabuhan utama di Malaysia iaitu Pelabuhan Klang, Pelabuhan Teluk Intan serta Pelabuhan Lumut dan WCE dibina di atas tanah pesisiran yang rata menjadikan ia laluan yang cukup selamat dan selesa untuk perkhidmatan logistik.

 

WCE

 

Dalam pada itu, Alexander memberitahu, perjanjian konsesi Lebuh Raya West Ipoh Span Expressway (WISE) yang menghubungkan Gopeng ke Kuala Kangsar sepanjang 60 kilometer akan ditandatangani pertengahan tahun ini.

 

Pembinaan WISE akan menjadi pelengkap kepada jajaran lebuh raya di Perak yang sering berdepan kesesakan teruk, terutama di laluan berhampiran Terowong Menora. - DagangNews.com