Sektor industri tolak PKP penuh, bimbang ekonomi Malaysia runtuh | DagangNews Skip to main content

Sektor industri tolak PKP penuh, bimbang ekonomi Malaysia runtuh

 

KUALA LUMPUR 20 Mei - Hampir semua sektor industri tidak menyokong sebarang langkah kerajaan untuk mengetatkan lagi perintah kawalan pergerakan (PKP) semasa COVID-19 ini kerana dikhuatiri akan tambah merosakkan ekonomi Malaysia.

 

Persatuan Industri Semikonduktor Malaysia (MSIA) berkata ia tidak memihak kepada cadangan pelaksanaan sekatan pergerakan secara penuh terhadap ekonomi atau negara.

 

MSIA dalam kenyataannya berkata, persatuan itu komited untuk mengetatkan dan menguatkuasakan prosedur operasi standard (SOP) di tempat kerja.

 

“Pekerja perlu mempunyai disiplin diri untuk berada di rumah atau di asrama penginapan terutamanya selepas bekerja untuk mengurangkan adanya kontak rapat. Kebenaran untuk keluar adalah dari lokasi ke lokasi, dari tempat kerja ke kediaman dan ke tempat kerja.

 

“Sekiranya diperlukan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diperketatkan, PKP secara bersasar perlu dilaksanakan berdasarkan data dan sains,” katanya.

 

Persatuan itu turut menggesa agar kawasan atau acara melibatkan orang ramai mengetatkan SOP dan mengurangkan jumlah individu dalam satu-satu masa.

 

Namun, katanya, penutupan boleh dipertimbangkan sekiranya tidak mematuhi SOP dan apabila langkah sanitasi sepenuhnya perlu dibuat.

 

Selain itu, MSIA berkata, program vaksinasi perlu disegerakan agar negara boleh mencapai imuniti kelompok dengan lebih cepat dan industri pula boleh meneruskan
operasi dengan risiko rendah.

 

“Kami ingin menegaskan bahawa operasi kilang perlu dijalankan melibatkan 100% tenaga kerja termasuk reka bentuk dan pembangunan. Kakitangan pejabat pula harus bekerja dari rumah sebanyak yang mungkin.

 

“Malaysia merupakan rantaian bekalan utama kepada industri elektronik global dan impaknya kepada  perniagaan  adalah  buruk sekiranya terdapat sebarang penutupan atau pengurangan tenaga kerja. Kerugian perniagaan tidak boleh dipulihkan khususnya apabila kilang di negara lain masih beroperasi,” katanya.

 

Sementara itu, Persatuan Pekilang Plastik Malaysia (MPMA) pula berkata, penutupan aktiviti sosial dan ekonomi yang berpanjangan akan memberi kesan buruk kepada ekonomi Malaysia.

 

Penguatkuasaan PKP pada skala penuh boleh menyebabkan penutupan perniagaan dan pemberhentian pekerja, katanya.

 

Oleh itu, persatuan tersebut menggesa pihak berkuasa untuk mempertimbangkan SOP yang lebih ketat dilaksanakan untuk membendung penularan jangkitan COVID-19 berbanding sekatan pergerakan sepenuhnya.

 

“SOP dan garis panduan kesihatan yang lebih ketat yang memerlukan masyarakat, majikan dan pekerja di tempat kerja untuk mematuhinya dengan sewajarnya terbukti menjadi mekanisme yang berkesan untuk membendung penularan COVID-19.

 

“Contoh yang baik ialah SOP ketat yang dilaksanakan oleh sektor pembuatan,” kata Presiden MPMA Datuk Lim Kok Boon dalam kenyataan di sini. - DagangNews.com