Sektor pelancongan Asia Pasifik dijangka lemah sepanjang 2021 - Fitch | DagangNews Skip to main content

Sektor pelancongan Asia Pasifik dijangka lemah sepanjang 2021 - Fitch

Maldives sentiasa menjadi tumpuan pelancong dari seluruh dunia.

KUALA LUMPUR 19 Okt. - Negara rantau Asia Pasifik (APAC) yang sumber ekonominya bergantung kepada sektor pelancongan terutama Macau dan Maldives  yang menjadi syurga buat pelancong antarabangsa dijangka berdepan penguncupan ekonomi tahun ini selagi pandemik COVID-19 belum berakhir. 

Menurut Fitch Rating dalam laporannya hari ini, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi Macau dan Maldives akan menyusut sekurang-kurangnya 40% dan 16% tahun ini. 

Selain itu, dua lagi negara APAC iaitu Thailand dan Hong Kong juga akan menerima nasib yang sama. 

Jelas agensi penarafan itu, wabak COVID-19 akan terus menganggu perkhidmatan perdagangan antarabangsa terutamanya sektor pelancongan. 

Laporan Organisasi Pelancongan Antarabangsa menunjukkan ketibaan pelancong antarabangsa di seluruh dunia menyusut 65% tahun ke tahun bagi separuh pertama tahun ini termasuk negara APAC menurun 72%. 

"Terdapat beberapa negara APAC lebih terdedah terutama kemasukan pelancong menyumbang sekurang-kurangnya 5% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dengan didapati lebih satu pertiga daripada penarafan Fitch di rantau ini didahului Macau, Maldives, Thailand dan Hong Kong," katanya dalam laporan tersebut.

Ini menyaksikan rantau APAC dijangka terus berdepan aliran masuk pelancongan antarabangsa yang lemah sepanjang 2021 walaupun sekatan rentas sempadan semakin dilonggarkan memandangkan masih wujud ketidaktentuan dalam mengekang pandemik COVID-19 dan vaksin serta rawatan yang berkesan bagi menangani wabak tersebut. 

Bagi kerajaan yang berjaya menangani pandemik COVID-19 secara perlahan-lahan mula mengurangkan sekatan pergerakan di peringkat domestik dan kawalan sempadan pada akhir suku kedua 2020. 

Bagaimanapun, peningkatan semula kes kemungkinan boleh menghalang pembukaan semula sempadan dan perjalanan rentas negara dengan cepat. 

Fitch berkata, negara yang mempunyai kebergantungan tinggi terhadap pendapatan fiskal daripada pelancongan dan sektor berkaitan tetapi mempunyai ruang fiskal bagi menangani kejatuhan ekonomi dan penampan luaran mencukupi, berada dalam kedudukan yang lebih baik. 

"Bagi sesetengah keadaan pula, permintaan terhadap pelancongan dialihkan kepada peringkat domestik apabila  kadar penghunian hotel meningkat di sebalik penutupan sempadan. 

"Pertumbuhan pelancongan domestik secara tidak langsung dapat mengimbangi kerugian dari segi kemasukan pelancong, tetapi ini hanya sebahagian sahaja," katanya. - DagangNews.com