Sektor pembinaan Malaysia rugi RM11.6 bilion setiap bulan sejak PKP | DagangNews Skip to main content

Sektor pembinaan Malaysia rugi RM11.6 bilion setiap bulan sejak PKP

KUALA LUMPUR 18 Sept. - Sektor pembinaan Malaysia berdepan kerugian sehingga RM11.6 bilion pada setiap bulan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada Mac lalu. 

Sebanyak 29% daripada kerugian itu disebabkan pengangguran akibat projek-projek pembinaan terpaksa diberhentikan. 

Presiden Persatuan Kontraktor Binaan Malaysia (MBAM), Foo Chek Lee berkata, walaupun kebanyakan kerja pembinaan dapat dijalankan semula setelah negara memasuki fasa pemulihan, namun industri itu dapat beroperasi dengan hanya 80% kapasiti.

 

Foo Chek Lee
Foo Chek Lee

 

“Apabila projek pembinaan diberhentikan sementara, pembekal mesin tidak dapat menyewakan atau menjual mesin mereka dan kilang-kilang tidak dapat mengeluarkan bahan pembinaan serta bahan import tidak boleh dibawa masuk.

“Ini merupakan punca kenapa industri pembinaan terpaksa menanggung sehingga RM11.6 bilion kerugian pada setiap bulan,” katanya seperti dipetik Bernama. 

Tambah Chek Lee, pihaknya berterima kasih akan insentif dan pakej rangsangan yang diperkenalkan kerajaan, bagaimanapun berharap supaya tempoh pembayaran balik moratorium bagi syarikat berkaitan pembinaan dapat dilanjutkan selama enam bulan lagi. 

Jelasnya, lanjutan tempoh moratorium untuk tempoh setengah tahun lagi dapat membantu melindungi salah satu sektor ekonomi penting buat negara. 

“Memandangkan moratorium akan tamat pada 30 September ini, banyak syarikat meluahkan mereka tidak dapat mematuhi pembayaran balik berkenaan.

“Sebanyak 30% firma pembinaan di Malaysia masih berdepan isu kewangan,” jelasnya. - DagangNews.com