Sektor pembuatan catat jualan RM118.4 bilion pada Februari | DagangNews Skip to main content

Sektor pembuatan catat jualan RM118.4 bilion pada Februari

Pembuatan

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 9 April - Nilai jualan sektor pembuatan pada Februari 2021 berjumlah RM118.4 bilion dengan pertumbuhan sebanyak 6.4% berbanding tahun sebelumnya.

 

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, berasaskan perbandingan  bulan ke bulan, nilai jualan sektor tersebut turun 3.6%.

 

"Peningkatan tahun ke tahun yang direkodkan pada bulan Februari 2021 dipacu oleh produk elektrik & elektronik (10.3%), Produk Makanan, Minuman & Tembakau (9.0%) dan Produk Kelengkapan Pengangkutan & Pembuatan lain (8.2%).

 

"Jumlah pekerja sektor pembuatan pada Februari 2021 adalah seramai 2,228,415 orang iaitu berkurangan 2.2% berbanding 2,277,882 pada Februari 2020," katanya dalam satu kenyataan berkaitan laporan perangkaan pembuatan Malaysia bagi Februari 2021 yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) hari ini.

 

Mohd. Uzir Mahidin
Mohd. Uzir Mahidin.

 

Kandungan laporan tersebut juga menyatakan gaji & upan yang dibayar berjumlah RM7,518.8 juta, merosot 1.2% atau RM89.6 juta pada Februari 2021 berbanding bulan sama tahun sebelumnya.

 

"Pada masa sama, nilai jualan per pekerja meningkat 8.8% kepada Rm53,138 berbanding bulan sama tahun 2020.

 

"Sementara itu, purata gaji & upah setiap pekerja adalah sebanyak RM3,374 pada bulan Februari 2021," ujar beliau lagi. - DagangNews.com