Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 2 Nov - Sektor pembuatan domestik dijangka kembali pulih secara beransur-ansur pada suku terakhir ini sehingga memasuki 2022, demikian menurut penganalisis dalam nota kajian masing-masing hari ini.
Keyakinan ini berdasarkan kepada data terkini IHS Markit yang menunjukkan sektor pembuatan Malaysia pada bulan lalu merekodkan pengembangan paling kukuh dalam pesanan baharu sejak April dan mencatatkan peningkatan pertama bagi pengeluaran dalam tempoh 6 bulan.
Ia menyaksikan Indeks Pengurus Pembelian (PMI) Pembuatan Malaysia utama iaitu penunjuk/indikator komposit yang mengukur prestasi pembuatan, melonjak kepada 52.2 pada Oktober 2021 daripada 48.1 pada September 2021.
Kenanga Research berkata, kelonggaran sekatan pergerakan bagi mengekang penularan COVID-19 berikutan kemajuan vaksinasi, permintaan terpendam (pent-up demand) yang dilepaskan, sokongan berterusan daripada langkah fiskal dan kewangan, dan permintaan luar yang kukuh daripada ekonomi utama menjadi antara faktor utama yang mendorong kepada pengembangan kukuh sektor pembuatan Malaysia.
"Melihat kepada perkembangan ini, kami mengekalkan unjuran pertumbuhan pembuatan pada 2.1% bagi suku ketiga dan dijangka berkembang kepada 4.5% pada suku keempat, menjadikan keseluruhan pertumbuhan pada 9.1% tahun ini (berbanding -2.6% pada 2020).
"Pertumbuhan keseluruhan bagi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) juga diunjur berkembang antara 3.5 hingga 4% pada 2021 manakala 5.5 hingga 6% pada tahun hadapan," jelasnya.
Sementara itu, AmBank Investment Bank Research menjangkakan sektor pembuatan akan terus meningkat dipacu permintaan global, pembukaan semula ekonomi dan harga komoditi yang kukuh.
Selain itu, katanya, ia juga didorong oleh prestasi pengeluaran produk elektrik dan elektronik yang semakin meningkat di tengah-tengah gangguan rantaian bekalan yang berterusan dan harga input lebih tinggi.
"Oleh itu, bagi keseluruhan tahun ini, kami mengekalkan unjuran kami yang akan menyaksikan ekonomi negara berkembang sekitar 3 hingga 3.5%," tambahnya.
Mengenai prospek perniagaan, MIDF Research kekal optimis bahawa pandemik COVID-19 akan berakhir dan permintaan kembali pulih.
Menurutnya, sektor pembuatan negara akan terus kukuh dipacu pemulihan dalam permintaan domestik dan prestasi dagangan yang kukuh.
"Bagaimanapun, terdapat beberapa faktor akan menjejaskan pertumbuhan sektor ini, antaranya permintaan luar yang lemah ekoran permintaan yang perlahan di negara dagangan utama seta kemungkinan berlakunya lonjakan jangkitan COVID-19 hingga menyebabkan kawalan pergerakan yang ketat.
"Di samping itu, faktor lain termasuklah kos pengeluaran yang tinggi, kenaikan harga komoditi dan pelbagai cabaran dalam rantaian bekalan," katanya. - DagangNews.com