Sektor pembungkusan Malaysia ‘kaut untung’ tinggi ketika COVID-19 | DagangNews Skip to main content

Sektor pembungkusan Malaysia ‘kaut untung’ tinggi ketika COVID-19

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 9 Dis. - Sektor pembungkusan Malaysia berkembang maju ketika hampir seluruh dunia berdepan kemelesetan ekonomi akibat pandemik COVID-19. 

 

Hasil sektor itu melonjak sehingga 11% pada sembilan bulan pertama 2020 (9M20) berbanding tempoh sama tahun lalu dengan keuntungan bersih mencanak 42.9%. 

 

Kata CGS-CIMB Research, permintaan produk pembungkusan plastik kian meningkat, sebahagiannya didorong oleh pesanan dari rumah. 

 

Ini sekaligus mencetuskan keperluan simpanan produk itu bagi barangan pengguna bergerak pantas (FMCG). 

 

“Secara keseluruhannya, pertumbuhan jualan sektor itu didorong oleh klien FMCG global yang melihat nilai dan kualiti produk pembungkusan buatan Malaysia,” kata CGS-CIMB dalam nota kajiannya.

 

Pemain industri pembungkusan, Tomypak yang sebelum ini rugi sejak tahun kewangan 2018 (FY18) dijangka mencatatkan keuntungan menjelang FY20. 

 

Pengeluar produk film dan plastik huluan, Thong Guan Industries juga telah mengubah pendirian syarikat itu daripada persaingan harga kepada buatan produk bernilai tinggi pada FY16.

 

Sementara itu, Daibochi pula berterusan membangunkan barisan produk pembungkusan mampan baharu untuk memenuhi minat klien FMCG yang menawarkan syarikat itu lebih banyak kontrak di luar Malaysia. 

 

“Dengan banyak peluang ditawarkan kepada syarikat-syarikat pembungkusan, kami percaya pemacu pengembangan penting untuk memenuhi permintaan yang kian meningkat. 

 

“Kami menjangkakan kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) sektor berkenaan mencecah 8.7% dan keuntungan bersih sehingga 12.5% bagi tahun 2020 hingga 2022, dipacu oleh pengembangan kapasiti pada masa akan datang,” tambah CGS-CIMB. 

 

CGS-CIMB meningkatkan penarafan sektor itu kepada ‘overweight’ daripada ‘neutral’. - DagangNews.com