Sektor perbankan kekal berdaya tahan : RAM Ratings | DagangNews Skip to main content

Sektor perbankan kekal berdaya tahan : RAM Ratings

Oleh NABILA YASMIN RAZIB
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 28 Okt. - Sektor perbankan Malaysia dijangka kekal berdaya tahan pada 2022 di tengah-tengah cabaran pandemik COVID-19.

 

RAM Ratings berkata, walaupun kemerosotan mula muncul pada tahun akan datang, kerugian kredit akan diimbangi dengan pertambahan pendapatan yang sihat, penampan peruntukan yang selesa dan permodalan yang kukuh. 

 

Ujarnya, dalam tempoh 12 bulan akan datang, kebanyakan penarafan dalam portfolio perbankan RAM akan kekal utuh.

 

"RAM juga mengunjurkan pertumbuhan pinjaman mencapai 4% pada 2022, sejajar dengan jangkaan pemulihan ekonomi. 

 

"Ini adalah kadar yang lebih tinggi daripada 3% yang diramalkan untuk 2021 dan 2.5% yang dicatatkan pada Ogos," katanya dalam nota kajiannya di sini hari ini.

 

Tambah RAM, walaupun kebanyakan bank berkemungkinan akan memberikan bantuan lanjut kepada peminjam yang masih berdaya maju apabila moratorium tamat pada separuh pertama 2022, RAM menjangkakan beberapa kemerosotan akan mula menjadi jelas pada bahagian akhir tahun ini. 

 

"Oleh itu, RAM mengunjurkan nisbah pinjaman terjejas kasar meningkat antara 2.3% dan 2.5% pada 2022 daripada 1.7% yang telah dibendung oleh bantuan pembayaran balik pinjaman yang meluas dan moratorium," katanya,

 

Sementara itu Ketua Bersama Penarafan Institusi Kewangan RAM, Wong Yin Ching berkata, sektor isi rumah dijangka mengalami pertumbuhan tahun depan dengan segmen gadai janji sebagai pemacu utama, sama seperti yang dilihat pada tahun-tahun sebelumnya.

 

"Ini tidak menghairankan. Malaysia mempunyai demografi yang muda, jadi pembentukan isi rumah adalah tinggi dan terdapat permintaan asas untuk rumah,” katanya pada Sidang Kemuncak Kredit RAM maya 2021 yang diadakan minggu lalu.  -DagangNews.Com