KUALA LUMPUR 14 Sept - Kenanga Research mengekalkan pandangan 'overweight' terhadap sektor perladangan di sebalik ketidaktentuan ekonomi global dan harga minyak sawit mentah yang diunjur lebih rendah.
Penganalisisnya, Teh Kian Yeong berkata, sektor itu masih memiliki kualiti daya tahan memandangkan ia merupakan sumber utama penggunaan yang penting sebagai makanan iaitu merangkumi 70% manakala 20% lagi sebagai sumber biodiesel.
Katanya, meskipun sektor tersebut berdepan ketidaktentuan pendapatan disebabkan harga minyak sawit mentah, tetapi pendapatan jangka panjang disokong oleh pendedahan kepada produk guna harian yang penting.
"Di sebalik aliran pendapatan yang menurun tahun ke tahun disebabkan harga minyak sawit mentah yang lebih lemah, penarafan sektor perladangan mungkin sudah berada di paras terendah.
"Perlu diingat juga bahawa walaupun harga minyak sawit mentah mungkin berada di bawah paras tertinggi baru-baru ini, ia tidak bermakna sektor ini menghadapi bencana atau akan mengalami prestasi yang teruk.
"Pada harga minyak sawit mentah sekitar RM3,500 hingga RM4,000 satu tan metrik, aliran tunai dan margin operasi masih dalam kedudukan baik memandangkan kos pengeluaran diunjur berlegar antara RM2,000 hingga RM2,500 satu tan metrik menjelang 2023," katanya dalam nota kajian hari ini.
Laporan kewangan syarikat perladangan di bawah liputan Kenanga Research pada suku kedua menyaksikan prestasi yang bercampur-campur, mengecewakan konsensus tetapi berada dalam julat jangkaan firma walaupun secara keseluruhannya kurang memberangsangkan.
Lebih penting lagi, menurut Kian Yeong, pendapatan suku pertama dan kedua telah mencapai kemuncak harga minyak sawit mentah baru-baru ini.
"Oleh itu, keuntungan prospektif yang lebih lemah sudah dijangka dan kami mengesyaki pelabur ekuiti juga telah mengaitkan harga minyak sawit mentah yang lebih rendah sekitar RM3,500 hingga RM4,000 satu tan metrik bagi 2023.
"Dalam hal ini, sebahagian besar daripada 30% hingga 40% penurunan harga minyak sawit mentah mungkin telah diambil kira," jelasnya.
Namun, secara keseluruhan, beliau mengekalkan unjuran harga minyak sawit mentah tahun ini sekitar RM4,500 satu tan metrik manakala RM4,000 pada 2023. - DagangNews.com