Sektor pertanian catat peningkatan 0.1% didorong pertumbuhan positif komoditi sawit pada 2022 - DOSM | DagangNews Skip to main content

Sektor pertanian catat peningkatan 0.1% didorong pertumbuhan positif komoditi sawit pada 2022 - DOSM

Gambar hiasan
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 27 Okt - Sektor pertanian meningkat 0.1% pada 2022 berbanding negatif 0.1% pada tahun sebelumnya, disumbangkan oleh komoditi kelapa sawit yang mencatatkan pertumbuhan positif 3.8% berbanding -5.6% pada tahun sebelumnya, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

 

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, Malaysia telah mencatatkan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) RM1,510.9 bilion pada 2022, meningkat 8.7% berbanding RM1,390.6 bilion pada 2021.

 

"Kelapa sawit merupakan penyumbang utama kepada nilai ditambah sektor pertanian dengan RM36.1 bilion atau 36.5%. Ini diikuti oleh pertanian lain (RM28.1 bilion; 28.3%) dan ternakan (RM16.5 bilion; 16.7%)," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

 

Mengulas berkaitan pengeluaran pertanian pula, Mohd Uzir berkata, pengeluaran tanaman komoditi utama pada 2022 masih mencatatkan penurunan berbanding 2021 kecuali buah tandan segar (kelapa sawit) dan lada. 

 

"Pengeluaran buah tandan segar (kelapa sawit) merupakan yang tertinggi di antara komoditi pertanian iaitu sebanyak 94,814.5 ribu tan metrik, meningkat 3,420.8 ribu tan metrik atau 3.7% berbanding tahun sebelumnya," katanya.

 

Pengeluaran sayur-sayuran di Malaysia menunjukkan peningkatan 7% pada 2022 yang mana Pahang kekal sebagai pengeluar tertinggi dengan sumbangan 39.2%, diikuti oleh Johor (21.1%) dan Kelantan (11.9%). 

 

Pada tempoh sama, pengeluaran buah-buahan turut meningkat 8.4%. Johor merupakan pengeluar tertinggi buah-buahan di Malaysia dengan sumbangan 42.2%, diikuti Pahang (14.9%) dan Sarawak (8.1%).

 

 

DOSM

 

 

Melihat kepada subsektor ternakan, pengeluaran hasilan daging kambing/bebiri, telur ayam/itik dan susu segar mencatatkan peningkatan masing-masing dengan 16.9, 3.5 dan 0.6%. 

 

Sebaliknya, daging babi, daging itik, daging ayam dan daging lembu/kerbau masing-masing menurun dengan 7.9, 2.6, 2.5 dan 2.4%.

 

Pendaratan ikan laut pada 2022 ialah 1,308.4 ribu tan metrik, turun sebanyak 1.5% berbanding 1,328 ribu tan metrik pada 2021. Sementara itu, pengeluaran akuakultur air payau/ masin dan air tawar masing-masing meningkat sebanyak 47.1 dan 9.4% berbanding tahun sebelumnya.

 

Mohd Uzir berkata, bilangan penduduk bekerja pada 2022 berjumlah 15.39 juta orang berbanding 15.06 juta orang pada 2021.

 

"Daripada jumlah tersebut, seramai 15.06 juta (10%) terlibat dengan sektor pertanian. Bilangan ini menunjukkan penurunan berbanding tahun sebelumnya (2021:1.55 juta; 10.3%). 

 

"Penduduk bekerja sektor pertanian masih didominasi oleh penduduk warganegara dengan 67.5% manakala selebihnya bukan warganegara," katanya.

 

Beliau berkata, data gaji dan upah yang dikeluarkan oleh DOSM menunjukkan bilangan penerima gaji dan upah bagi pekerja mahir pertanian, perhutanan, penternakan dan perikanan pada 2022 adalah seramai 86,600 orang. 

 

Katanya, penengah gaji dan upah bulanan yang diterima bagi pekerja mahir itu adalah RM1,764 dengan pekerja lelaki RM1,779 dan perempuan RM1,531. 

 

"Manakala gaji dan upah purata bulanan yang diterima pula adalah RM2,011 dengan pekerja lelaki menerima RM2,033 dan perempuan RM1,831. Produktiviti buruh bagi sektor pertanian merosot sebanyak 1.2% bagi tempoh 2021 hingga 2022," katanya.

 

Mengulas lanjut, beliau berkata, sektor pertanian penting bagi memastikan bekalan makanan dalam negara sentiasa mencukupi. 

 

Di samping itu, sektor pertanian juga memainkan peranan yang penting di dalam ekonomi negara melalui sumbangannya kepada pendapatan negara dan perolehan eksport. 

 

"Perdagangan Malaysia telah menunjukkan perkembangan positif apabila jumlah eksport agromakanan dan hasil pertanian terpilih negara meningkat daripada RM154.5 bilion pada 2021 kepada RM188.6 bilion pada 2022. 

 

"Pada masa yang sama, jumlah import agromakanan dan hasil pertanian terpilih turut meningkat kepada RM144.4 bilion pada 2022 berbanding RM120.5 bilion pada 2021," katanya.

 

Namun katanya, sekiranya melihat kepada import makanan terkumpul Malaysia secara keseluruhan bagi tempoh lima tahun (2018-2022) berjumlah RM296.4 bilion, meningkat 31.8% berbanding lima tahun sebelumnya (2013-2017: RM224.9 bilion). - DagangNews.com