Sektor swasta perlu melabur dalam inovasi, pendigitalan | DagangNews Skip to main content

Sektor swasta perlu melabur dalam inovasi, pendigitalan

Digital

 

 

KUALA LUMPUR 23 Mac. - Sektor swasta di negara ini perlu membuat pelaburan dalam inovasi dan pendigitalan bagi memanfaatkan platform digital, ekosistem dan pasar untuk meningkatkan produktiviti.

 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, pelaburan tersebut adalah termasuk keselamatan siber bagi mewujudkan ekosistem digital yang selamat, terjamin dan dipercayai.

 

"Untuk menjadi negara berpendapatan tinggi, kita perlu melakukan transformasi kepada ekonomi. 

 

"Kita perlu meningkatkan bakat (pekerja berkemahiran), kita perlu mewujudkan sebuah ekosistem yang mendorong inovasi dan keusahawanan," katanya seperti dilapor Bernama.

 

Beliau berkata demikian dalam ucaptama pada sesi dialog anjuran Kuala Lumpur Business Club mengenai MyDIGITAL dan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia.

 

Mustapa Mohamed
Mustapa Mohamed

 

MyDigital yang dilancarkan pada bulan lalu merupakan inisiatif nasional untuk mengubah Malaysia ke arah negara berpendapatan tinggi bersama pendigitalan dan mendahului peringkat serantau dalam ekonomi digital.

 

Tambah Mustapa, melalui MyDIGITAL, rakyat Malaysia dapat memperbaiki kehidupan dalam setiap aspek melalui inisiatif yang diperkenal dan digariskan dalam rangka tindakan tersebut.

 

"Kejayaan rangka tindakan ini bergantung pada komitmen kerajaan, rakyat dan sektor swasta.

 

“Sektor swasta perlu memperkenalkan penyelesaian inovatif dalam menyelesaikan cabaran sosio-alam sekitar, melengkapkan pekerja dengan kemahiran yang diperlukan untuk mendepani transformasi dan menyertai dalam agenda memperkasakan masyarakat dan sosioekonomi.

 

“Kerajaan mahu ekonomi digital menyumbang ke arah pertumbuhan yang sejahtera dan mampan," katanya lagi.

 

Bagi tahun 2030 katanya, kerajaan menyasarkan untuk mencapai peningkatan produktiviti sebanyak 30% di semua sektor dengan memanfaatkan teknologi digital. - DagangNews.com