Sektor tenaga berkembang kukuh, prospek TNB dijangka terus mantap - AmInvest | DagangNews Skip to main content

Sektor tenaga berkembang kukuh, prospek TNB dijangka terus mantap - AmInvest

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 3 Ogos - Sektor tenaga yang berkembang kukuh didorong peningkatan permintaan elektrik memberi kelebihan kepada Tenaga Nasional Bhd. (TNB). 

 

Turut meraih manfaat yang sama ialah YTL Power International Bhd., menurut AmInvestment Bank Research.

 

Penganalisisnya, Gan Huey Ling berkata, kedua-dua syarikat utiliti ini akan merekodkan pertumbuhan untung bersih yang mantap bagi tahun kewangan 2021.

 

"Kami menjangkakan untung bersih TNB yang dinormalisasikan akan meningkat 11.6% tahun ini disokong pendapatan hidro yang kukuh pada suku pertama dan perbelanjaan penyelenggaraan yang rendah. 

 

"Untung bersih YTL Power pula dijangka melonjak 479.6% terutama didorong pemulihan YTL Power Seraya di Singapura," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Sebaliknya bagi Malakoff Corp Bhd. pula, untung teras bersihnya dianggarkan hanya meningkat kira-kira 1.8% tahun ini.

 

Bank pelaburan itu menyarankan penarafan 'overweight' bagi sektor tenaga berdasarkan permintaan kukuh tenaga elektrik di Semenanjung Malaysia yang dijangka kembali pulih tahun ini dengan meningkat 3% manakala 2% pada 2022.

 

TNB pula diberi saranan 'beli' dengan nilai saksama tidak berubah pada RM12 dan dijangka merekodkan hasil dividen yang lumayan sekitar 8.3% bagi tahun kewangan 2021 berdasarkan harga sahamnya pada RM9.63. 

 

Menurut Huey Ling, permintaan elektrik di peringkat domestik (kediaman isi rumah) juga dilihat kekal stabil memandangkan lebih banyak yang bekerja dari rumah ketika ini.

 

Tetapi, katanya, sektor komersial kemungkinan menyaksikan kelemahan pada separuh kedua 2021 setelah menyusut 12.1% pada tahun lalu.

 

"Bagaimanapun, permintaan kukuh bagi segmen industri dan domestik akan mengimbangi kelemahan sektor komersial (yang mana kebanyakannya tertumpu di pusat pendidikan, hotel dan pusat beli-belah)," katanya. 

 

Segmen perindustrian merangkumi 39% daripada jumlah jualan tenaga elektrik TNB pada tahun kewangan 2020 manakala sektor komersial 32%, domestik, 27% dan sektor lain, 2%.

 

Beliau juga percaya margin rizab tenaga di Malaysia akan meningkat 47% pada separuh kedua tahun ini bukan sahaja disebabkan operasi loji janakuasa gas yang baharu tetapi juga loji janakuasa tenaga solar yang diberikan di bawah LSS1.

 

TNB mengendalikan Southern Power Plant berkapasiti 1,440MW di Pasir Gudang pada Disember 2020 dan Februari 2021.

 

Mengenai Tempoh Kawal Selia 3 (RP3) pula, Huey Ling berkata, ia dijangka diumumkan sebelum hujung tahun ini supaya ia boleh dilaksanakan mulai 2022 hingga 2024. 

 

Namun, katanya, kebimbangan utamanya ialah kadar pulangan mungkin jatuh di bawah 7%. 

 

"Tetapi, kami percaya ini tidak mungkin kerana tiada insentif bagi TNB untuk melabur dalam perbelanjaan modal (capex) jika kadar pulangannya terlalu rendah.

 

"Ketika ini, di bawah RPT, kadar pulangan kepada TNB ialah 7.3%," katanya.

 

Sebahagian besar capex ini diperuntukkan untuk aset dikawal selia bagi rangkaian pengedaran dan transmisi dengan kedua-duanya kira-kira mencecah RM6 bilion setahun. 

 

Dalam pada itu, beliau tidak menolak kemungkinan berlaku peningkatan tarif surcaj bagi pengguna bukan kediaman pada separuh pertama 2022 memandangkan kos tenaga yang meningkat.

 

Ini kerana katanya, rebat tarif 2.00 sen/khW diberikan pada separuh kedua 2021 berdasarkan kos bahan api yang masih rendah di bawah kadar rujukan separuh pertama.

 

Berdasarkan data Bloomberg, harga batu arang meningkat kepada AS$152.75 per tan setakat 30 Julai 2021 berbanding AS$80.50 per tan pada awal tahun. Di bawah RP2, kadar rujukan bagi arang batu ialah AS$67.45 per tan.

 

 

solar
Dengan memperoleh aset RE di luar negara, lebih mudah bagi TNB dan Malakoff mencapai sasaran masing-masing.

 

 

 

Huey Ling berkata, TNB dan Malakoff juga dilihat sedang meninjau untuk memperoleh aset tenaga diperbaharui (RE) di luar negara sekitar tahun ini dan 2022.

 

"Dengan memperoleh aset ini, lebih mudah bagi TNB mahupun Malakoff untuk mencapai sasaran RE mereka. Tetapi, setakat ini, belum ada sebarang pengumuman rasmi dibuat. 

 

"Kami berpendapat proses ini mungkin memakan masa disebabkan sekatan pergerakan yang dilaksanakan di Malaysia bagi mengekang penularan wabak COVID-19," jelasnya.

 

TNB menyasarkan untuk mencapai aset RE sebanyak 8,300MW menjelang 2025 berbanding kapasiti ketika ini mencecah 3,398MW setakat akhir Disember 2020. 

 

Daripada keseluruhan sasaran TNB itu, 5,200MW adalah melalui aset antarabangsa dan selebihnya di peringkat domestik. Buat masa ini, aset RE antarabangsa TNB menjana kira-kira 666MW tenaga.

 

Bank pelaburan itu turut menjangkakan lebih banyak tender akan dikeluarkan melibatkan loji jana kuasa sisa terbuang kepada tenaga (WTE).

 

"Malaysia dijangka mengumumkan 4 tender berkaitan di pelbagai negeri dalam tempoh 4 tahun lagi," tambahnya. 

 

Pada April lalu, Malakoff telah mengemukakan bidaan untuk tender WTE berkapasiti 880 per tan sehari di Johor. 

 

"Syarikat yang memperoleh tender ini dijangka diumumkan separuh kedua ini atau selewat-lewatnya awal tahun hadapan," katanya lagi. 

 

Bagi keseluruhan prospek sektor tenaga, Huey Ling menyifatkan risiko alam sekitar, sosial dan tadbir urus korporat (ESG) akan mengheret turun sektor ini. 

 

Malah, katanya, ESG juga memberi risiko kepada harga saham prestasi pemain sektor ini. 

 

"Dalam hal ini, kami percaya risiko utama ESG ialah pelepasan gas rumah hijau daripada penggunaan batu arang," jelasnya.

 

Menurutnya, pegangan asing TNB semakin susut dengan hanya 12.4% setakat akhir Mac 2021 berbanding 16.9% pada Mac 2020. 

 

Bagi tahun kewangan 2020, kira-kira 24% pendapatan TNB disumbangkan menerusi loji janakuasa batu arang dan syarikat utiliti itu berikrar untuk memastikan ia tidak melebihi 25% daripada pendapatan kumpulan.

 

Malah, TNB itu juga sudah menyatakan hasratnya untuk tidak melabur dalam loji janakuasa greenfield setelah Jimah East dengan kapasiti 2,000MW beroperasi pada 2019. - DagangNews.com