Selangkah Biz: Solusi pembayaran digital PKS | DagangNews Skip to main content

Selangkah Biz: Solusi pembayaran digital PKS

Selangkah Biz

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 18 Mac. -Aplikasi mudah alih dan solusi digital baharu yang dilancarkan oleh Selangkah iaitu Selangkah Biz membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Malaysia beralih ke dunia perniagaan tanpa sentuh dan tanpa tunai.

 

Ia sekali gus menyediakan  transaksi yang selamat dan lancar, terutamanya ketika pandemik COVID-19 masih berleluasa.

 

Ketua Pegawai Informasi Selangkah Ventures Sdn Bhd (SVSB), Dr. Helmi Zakariah berkata, dengan aplikasi berkenaan, mana-mana perniagaan berdaftar di Malaysia boleh menerima bayaran tanpa tunai menggunakan peranti masing-masing, sekali gus menukar telefon bimbit mereka menjadi terminal pembayaran menerusi beberapa klik sahaja.

 

"Perniagaan tempatan merupakan tonggak yang menunjangi negara kita, justeru kami bermatlamat untuk bukan sahaja membantu mereka mengharungi detik semasa, malah turut berupaya untuk mengecapi kejayaan.

 

"Selangkah Biz ialah solusi kami untuk membantu PKS mendigitalisasi secara selamat, lancar dan segera bagi memajukan perniagaan mereka, sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan negara. 

 

"Kami telah menyaksikan keperluan untuk memangkin proses digitalisasi, lantas telah bekerja rapat dengan peneraju teknologi, Kiple untuk membantu kami dalam usaha ini di samping memanfaatkan kepakaran mereka bagi membina asas aplikasi berkenaan yang akan membantu menaik taraf PKS dengan keupayaan digital," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Peniaga hanya perlu memuat turun aplikasi tersebut dan mendaftar untuk menjadi peniaga Selangkah Biz.

 

Peniaga akan diberikan akses ke atas Platform Pembayaran Bersepadu tersebut untuk menerima bayaran tanpa tunai melalui pelbagai jenis e-dompet di samping menguruskan transaksi harian dengan mudah.

 

Secara tidak langsung, ia membantu PKS menjimatkan kos sambil menawarkan kemudahan dan nilai bertaraf tinggi buat para pelanggan, tanpa perlu memasang atau menyewa perkakasan tertentu.

 

Tambah beliau, platform pembayaran yang disediakan di aplikasi Selangkah Biz dapat direalisasikan melalui kolaborasi bersama Kiple.

 

"Paparan aplikasi yang mesra pengguna membolehkan peniaga menyediakan pelbagai kaedah pembayaran bagi para pelanggan demi kesenangan mereka.

 

"Ketika ini, kaedah pembayaran tersebut meliputi e-dompet dan opsyen pembayaran tanpa tunai seperti Touch n’ Go, Boost, Grab, Razer serta e-dompet kiple sendiri, kiplePay. 

 

"Kiple juga membolehkan para peniaga memantau jualan mereka melalui rekod transaksi yang disediakan," katanya lagi.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif KiplePay, Tan Kay Yen memberitahu, pihaknya memiliki keupayaan untuk memperkasakan entiti-entiti perniagaan dan mencetus perubahan melalui rangkaian solusi yang tawarkan pihaknya.

 

"Digitalisasi mungkin dianggap sebagai sesuatu yang mencabar bagi perusahaan yang masih belum merasai manfaat transformasi tersebut, justeru kami ingin menunjukkan kepada mereka bahawa proses tersebut tidaklah sesukar yang disangkakan jika alat yang tepat digunakan. 

 

"Kami ingin menjadikan proses tersebut selancar yang mungkin agar mereka dapat menikmati kelebihan teknologi digital ini dalam kehidupan seharian mereka," tambahnya lagi. - DagangNews.com