Selangor, Negeri Sembilan jalin kerjasama usahakan penanaman jagung bijirin | DagangNews Skip to main content

Selangor, Negeri Sembilan jalin kerjasama usahakan penanaman jagung bijirin

Datuk Seri Amirudin Shari (empat, kiri) bersama Datuk Seri Aminuddin Harun (tiga, kanan) bertukar-tukar dokumen selepas Menandatangani Memorandum Persefahaman Projek Usahasama Tanaman Jagung Bijirin Menerusi Program Inisiatif Sekuriti Makanan serta merayakan Sambutan Majlis Semarak Ehsan Aidilfitri 2022 di Wisma Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) Shah Alam pada 18 Mei 2022.

SHAH ALAM 19 Mei - Kerajaan Selangor dan Negeri Sembilan memeterai perjanjian usaha sama bagi projek penanaman jagung bijirin di atas tanah seluas 283 hektar di kedua-dua negeri dengan peruntukan sebanyak RM3 juta.

 

Kerjasama itu dimeterai menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) dan Menteri Besar Negeri Sembilan (Pemerbadanan) (MBINS) untuk meneroka  peluang kerjasama dalam menyelesaikan isu kenaikan harga ayam akibat kebergantungan kepada bekalan import jagung bijirin.

 

Kerjasama pertanian itu adalah kali pertama diadakan dengan kerajaan Selangor yang akan diusahakan di kawasan tapak bekas Pusat Fidlot Nasional (NFC) di Gemas.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKPS Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi berkata, projek pertanian tersebut adalah hasil siri perbincangan di antara PKPS dengan MBINS sejak awal tahun ini.

 

“Dengan termeterai kerjasama ini, gerak kerja untuk melaksanakan projek tanaman jagung bijirin di dua lokasi iaitu di Gemas, Negeri Sembilan (162 hektar) dan Kuala
Langat Selatan, Selangor (121 hektar) akan dimulakan sebaik selesai pembersihan kawasan," katanya pada majlis menandatangani MoU tersebut di sini pada Rabu.

 

MoU tersebut ditandatangani oleh Mohamad Khairil dan Pegawai Kewangan Negeri merangkap Pengarah Urusan MBINS Datuk Mohd Khidir Majid, disaksikan oleh Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari dan Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun.

 

Mohamad Khairil berkata kerja-kerja pembersihan tanah dijangka selesai pada suku ketiga tahun ini, manakala kerja-kerja penanaman akan bermula selepas itu dengan mengambil kira faktor cuaca semasa.

 

"Apabila siap kelak, projek ini mampu menghasilkan kira-kira 5,490 tan jagung bijirin setiap tahun untuk dipasarkan kepada pemain industri ternakan tempatan.

 

“Dengan harga pasaran semasa iaitu RM1,950 satu tan, usaha sama ini berupaya menjana pendapatan sebanyak RM10.7 juta setahun," katanya, Bernama melaporkan.

 

Beliau berkata MoU itu akan diperluaskan lagi menerusi dokumen perjanjian yang lebih terperinci bagi meneroka potensi khususnya membabitkan tanaman makanan ternakan lain.

 

Sementara itu, Amirudin berkata projek tersebut dijangka mampu mengurangkan dua hingga tiga peratus kebergantungan import bahan tersebut dan sekiranya projek  itu berjaya, ia akan diperluaskan pada masa akan datang melalui kepakaran sedia ada.

 

Aminuddin pula berkata, sekiranya projek tersebut berjaya, mana-mana individu atau tuan tanah akan digalakkan untuk menanam jagung bijirin di tanah terbiar mereka dengan menggunakan konsep ladang kontrak. - DagangNews.com