Selangor sasar pelaburan RM50 bilion tahun ini - Menteri Besar | DagangNews Skip to main content

Selangor sasar pelaburan RM50 bilion tahun ini - Menteri Besar

Bandar raya Shah Alam, Selangor
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 15 Jan - Selangor menyasarkan pelaburan sebanyak RM50 bilion pada tahun ini, lebih tinggi berbanding yang dicatatkan pada tahun lepas iaitu lebih RM45 bilion. 

 

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, sasaran itu berdasarkan perkembangan ekonomi yang semakin baik dan mampu menambah sumbangan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara sehingga 0.5% pada tahun ini.

 

"Jika kita dapat meningkatkan 0.4% hingga 0.5% daripada apa yang kita sumbangkan sekarang, maknanya daripada lebih 25% mungkin kepada sehingga 26% sumbangan KDNK negara pada tahun ini," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucapan Amanat Tahun Baharu 2024 di Bangunan Sultan Abdul Aziz, Shah Alam, Selangor hari ini. 

 

Bagaimanapun, katanya beliau masih menunggu angka rasmi daripada Jabatan Perangkaan Malaysia berhubung prestasi ekonomi dan pelaburan negeri itu pada tahun lepas. 

 

Pada 2022, Selangor mencatatkan sejarah tersendiri apabila sumbangan negeri itu kepada KDNK Malaysia melebihi satu perempat ekonomi negara iaitu pada kadar 25.5%, dengan kenaikan sebanyak 0.7% berbanding tahun sebelumnya.

 

Mengenai perkembangan perobohan Stadium Shah Alam, Amirudin berkata, kerja-kerja pengalihan pencawang Tenaga Nasional Bhd (TNB) sedang dirancang untuk mengelak gangguan bekalan elektrik di kawasan Seksyen 13, lapor Bernama.

 

"Kita sedang berunding dengan TNB untuk mengalihkannya. Kalau buat baharu (pencawang), ia akan ambil masa lagi setahun, baru boleh robohkan stadium, justeru, kita alihkan dulu," katanya. 

 

 

amirudin
Datuk Seri Amirudin Shari

 

 

"Saya akan pastikan (perobohan) segera tetapi kita tidak boleh menggunakan peledak atau bom sebab ia akan memberikan kesan kepada kejiranan di kawasan itu, sebaliknya dilaksanakan secara manual menggunakan peralatan mesin," katanya. - DagangNews.com