Selepas Ogos penuh 'drama', pelabur mahu melihat pemulihan ekonomi - Penganalisis | DagangNews Skip to main content

Selepas Ogos penuh 'drama', pelabur mahu melihat pemulihan ekonomi - Penganalisis

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 2 Sept. - Meskipun Ogos 2021 dilihat bulan yang penuh 'tragedi' bagi politik negara hingga berlakunya perubahan kepada kepimpinan negara, tetapi ia dilihat tidak menjejaskan prestasi Bursa Malaysia.

 

Pelantikan baharu Perdana Menteri yang diumumkan 21 Ogos lalu menjadi penyelamat kepada dagangan pasaran ekuiti tempatan apabila keyakinan pelabur semakin meningkat selepas itu.

 

Laporan strategik bulanan CGS-CIMB menunjukkan indeks utama FBM KLCI melonjak 7.1% atau 107 mata untuk mengakhiri dagangan pada 1,601 mata bagi Ogos, menjadikannya kenaikan bulanan tertinggi bursa tempatan sejak Oktober 2011.

 

Jelasnya, pelabur asing kembali membeli RM1.05 bilion ekuiti tempatan pada bulan lalu, yang dilihat menjadi penyumbang utama kepada pengukuhan KLCI.

 

Malah, ia juga merupakan bulan pertama yang merekodkan pembelian ekuiti sepanjang tahun ini setelah menjual ekuiti secara berterusan selama 18 bulan berturut-turut.

 

"Keyakinan ini semakin meningkat apabila ketegangan politik dilihat reda berikutan pelantikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri ke-9 bagi menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin," katanya dalam laporan itu hari ini. 

 

Muhyiddin mengumumkan peletakan jawatannya pada 16 Ogos lalu selepas beliau gagal meraih sokongan majoriti di Parlimen.

 

Ia turut menyaksikan keseluruhan anggota Kabinet meletakkan jawatan pada ketika negara sedang berdepan dengan pandemik COVID-19 dengan jangkitan harian masih kekal tinggi merekodkan secara purata 20,000 kes.

 

Disebabkan pergolakan politik, KLCI dilihat diniagakan tidak menentu sebelum ia kembali meraih keyakinan pelabur terutama dengan pengumuman anggota baharu Kabinet pada 27 Ogos lalu. 

 

Ini menjadikan KLCI muncul pasaran ekuiti kedua terbaik selepas Thailand dalam kalangan pasaran Malaysia, Indonesia, Singapura dan Thailand (MIST), menurut CGS-CIMB.

 

Tambahnya, kerugian yang dialami pasaran tempatan juga menyusut kepada 1.6% tahun ke tahun dalam tempoh itu. 

 

Bagaimanapun, nilai purata dagangan harian susut 11% bulan ke bulan dan 62% tahun ke tahun pada Ogos kepada RM2.7 bilion, menjadikan ia dagangan bulanan terendah sejak April 2020.

 

Bagi volum purata dagangan harian, ia juga merosot 17% bulan ke bulan dan 71% tahun ke tahun kepada 4.2 bilion unit.

 

Pasaran modal bagi papan utama Bursa Malaysia pula berkembang 5.8% bulan ke bulan kepada RM1.78 trilion setakat akhir Ogos 2021, hanya merekodkan peningkatan kecil bagi KLCI iaitu 7.1%. 

 

CGS-CIMB juga mendapati, nilai purata dagangan harian pelabur asing meningkat 4% bulan ke bulan kepada 21% pada bulan tersebut manakala dagangan pelabur runcit susut kepada 35% pada Ogos berbanding 40% bulan sebelumnya.

 

Dagangan pelabur institusi tempatan kekal tidak berubah pada 43% sepanjang bulan tersebut.

 

Sepanjang Ogos itu juga, saham berkaitan perladangan dan pengangkutan mencatat prestasi yang baik, tetapi sebaliknya saham penjagaan kesihatan dan REIT mencatat prestasi kurang memuaskan.

 

Menurut firma tersebut, kenaikan pasaran ketika ini mungkin didorong oleh kurangnya kebimbangan terhadap pergolakan politik selepas Ismail Sabri mengadakan pertemuan dengan pemimpin pembangkang dan beliau turut meneruskan kesinambungan dasar pentadbiran sebelum ini.

 

"Namun, untuk mengekalkan momentum ini, apa yang mahu dilihat oleh pelabur kini ialah bukti terhadap usaha pemulihan ekonomi dan kadar vaksinasi tinggi terutama bagi negeri yang masih merekodkan peningkatan ketara jangkitan COVID-19.

 

"Selain itu, faktor yang turut diambil kira termasuklah lebih banyak negeri beralih kepada fasa seterusnya (3 hingga 5) di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN)," jelasnya.

 

CGS-CIMB bagaimanapun mengekalkan sasaran KLCI pada 1,604 mata dan melihat pelabur akan beralih kepada saham berentak pemulihan pasca pandemik. - DagangNews.com