Gambar hiasan
Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 5 Nov - Pengeluar sarung tangan getah, Smart Glove Holdings dikenakan Perintah Tahanan Pelepasan (WRO) oleh Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (AS) Amerika Syarikat (AS) ekoran amalan penggunaan buruh paksa berkuat kuasa 4 November 2021.
Ini menjadikannya syarikat keenam dari Malaysia yang dikenakan sekatan tersebut dalam tempoh lebih 2 tahun.
Dalam kenyataan semalam, kesemua pegawai CBP di semua pelabuhan AS akan menahan semua produk sarung tangan getah pakai buang yang dikeluarkan syarikat tersebut.
Ini termasuklah kumpulan syarikat iaitu Smart Glove Corporation Sdn Bhd, GX Corporation Sdn Bhd, GX3 Specialty Plant, Sigma Glove Industries dan Platinum Glove Industries Sdn. Bhd.
CBP mengeluarkan WRO terhadap Smart Glove berdasarkan kepada maklumat yang munasabah menunjukkan kemudahan pengeluaran Smart Glove menggunakan buruh paksa.
Malah, agensi penguatkuasaaan itu juga mengenal pasti 7 petunjuk Organisasi Buruh Antarabangsa (ILO) terhadap buruh paksa ketika menjalankan siasatan.
Petunjuk ILO tersebut termasuklah jam kerja yang berlebihan, ikatan hutang, keganasan fizikal dan seksual, keadaan kerja dan kehidupan yang memeritkan.
Pemangku Pesuruhjaya CBP, Troy Miller berkata, sejak 2 tahun lalu, CBP telah menetapkan standard yang memastikan sebarang produk dihasilkan dengan menggunakan buruh paksa tidak memasuki negara tersebut.
"Pengeluar seperti Smart Glove, yang gagal mematuhi undang-undang kami akan menghadapi akibatnya apabila kami menghapuskan amalan tidak berperikemanusiaan ini daripada rantaian bekalan AS," katanya dalam kenyataan berkenaan.
Dua minggu lalu, AS telah menyekat kemasukan produk sarung tangan getah yang dikeluarkan Supermax Corp. dan anak-anak syarikatnya atas dakwaan yang sama serta mempunyai 10 daripada 11 petunjuk buruh paksa.
Turut menerima nasib yang sama sebelum itu, termasuklah Top Glove Corp. Bhd., Sime Darby Plantation Bhd. dan FGV Holdings Bhd.
Menurut Reuters, syarikat pengeluar sarung tangan getah, WRP Asia Pacific turut berdepan sekatan WRO ini pada September 2019.
Tetapi, kemudiannya ia ditarik balik pada Mac 2020 setelah CBP mendapati syarikat ini tidak lagi mengeluarkan produk sarung tangan getah menggunakan buruh paksa. - DagangNews.com